Pekerja Malaysia Dinafikan Gaji Minima Sebenar Iaitu Sebanyak RM2700 Sebulan

0

Satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Menteri Kewangan Kedua iaitu Datuk Seri Johari Ghani yang mengakui hakikat bahawa sikap bergantung kepada pekerja-pekerja asing telah memberi kesan buruk kepada nasib pekerja tempatan. Perkara ini telah menyebabkan peluang pekerja tempatan untuk mendapat gaji minimun sebanyak RM2700.00 terpadam.

Persoalannya ialah mengapa sampai sekarang baru kerajaan sedar sedangkan ribuan pekerja asing sudah memenuhi negara kita. Setelah lebih daripada 20 tahun barulah kerajaan menyedari hakikat bahawa hak gaji minimum pekerja dinafikan serta banyak kerugian dialami hanya kerana sikap kerajaan yang terlalu bergantung kepada pekerja asing.

pekerja kilang

Bagaimana pula dengan tuntutan-tuntutan berkenaan nasib pekerja tempatan yang kian parah akibat kemasukan pekerja asing yang dibuat oleh Kesatuan? Apa tindakan kerajaan? Adakah kerajaan hanya memandang sebelah mata akan semua tuntutan ini?

Persoalan seterusnya adalah apakah tindakan kerajaan dalam membendung kemasukan pekerja-pekerja asing ke dalam negara sejak tahun 1980-an?

Tiga tahun yang lepas ketika rakyat Malaysia sedang dihimpit masalah pengangguran dan kesukaran mencari pekerjaan akibat kemelesetan ekonomi, kerajaan sesuka hati mengumumkan ingin membawa masuk seramai 1.5 juta pekerja asing lagi.

Tuntutan daripada Kesatuan pekerja sekali lagi dibuat untuk melindungi hak pekerja tempatan namun malangnya tiada langsung tindakan diambil oleh pihak kerajaan untuk melindungi hak pekerja tempatan. jelaslah bahawa kerajaan tidak memberikan perhatian kepada nasib pekerja.

Dalam hal ini, tiada siapa boleh dipersalahkan melainkan kerajaan sendiri. Terlalu banyak masalah yang berlaku akibat daripda kemasukan pekerja asing yang begitu banyak dan yang paling serius adalah perkara ini telah menjejaskan hak pekerja tempatan.

Bukan itu sahaja, kemasukan pekerja asing yang terlalu banyak ini juga telah menyebabkan kemelesetan yang melampau kepada rakyat Malaysia yang sedang berada dalam kategori B40 dan M40 yang haknya untuk peluang pekerjaan dan kehidupan yang layak dirompak sejak 20 tahun yang lalu.

Selain itu, kerajaan juga telah mengarahkan semua sektor perniagaan untuk beralih angin dengan menggunakan pendekatan automasi serta menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan gaji minimum dibayar kepada rakyat Malaysia untuk kehidupan yang lebih baik.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggalakkan teknologi dalam sektor pekerjaan tetapi malangnya kerajaan tidak memberikan penekanan teknologi ke arah sektor yang berorientasikan tenaga kerja. Hal ini demikian kerana kerajaan sangat bergantung kepada pekerja-pekerja asing dalam sektor ini. Kerajaan hanya memberikan penekanan teknologi ini kepada sektor perkhidmatan yang majoriti pekerjanya adalah merupakan rakyat Malaysia.

Penggunaan teknologi dalam sektor perkhidmatan ini telah menyebabkan kerajaan serta majikan bertindak zalim dengan membuang pekerja tempatan sesuka hati mereka walaupun pekerja-pekerja tersebut telah lama berkhidmat serta menggantikan graduan Malaysia dengan graduan asing tanpa memberi peluang kepada pekerja-pekerja untuk berjaya.

pekerja kilang 2

Sektor perkhidmatan juga turut menyingkirkan pekerja dan memilih AI untuk bersaing dengan negara-negara Barat atas nama mahu terus kekal berdaya saing tanpa menghiraukan nasib pekerja yang terabai.

Sektor perkhidmatan sedang dalam usaha untuk menunjukkan contoh yang baik dengan memperkenalkan gaji minimum sebanyak RM2700.00 seperti saranan Bank Negara Malaysia. Hal ini kerana banyak sektor perkhidmatan telah berjaya mencatatkan keuntungan berbillion ringgit. Namun, sayangnya keuntungan ini tidak dikongsi sama rata dan nasib pekerja terus terabai.

Jika Menteri Kewangan Kedua benar-benar ikhlas untuk memastikan keadilan wujud telahdalam sistem pekerjaan, beliau haruslah memastikan Perbankan, GLC dan GOC yang berada di bawah kementeriannya menunjukkan contoh yang baik dengan menyediakan gaji minimum RM2700.00 memandangkan automasi dan teknologi telah menjadi sebahagian daripada pengurusan bank sejak 1980-an.

Oleh sebab itulah, keperluan untuk mengurangkan pekerja asing di sektor bank tidak timbul untuk menikmati gaji minimum seperti yang disarankan oleh BNM kerana tiada pekerja asing dalam sektor tersebut.

Dalam perkara ini kerajaan sepatutnya ikhlas dengan cara mengurangkan kemasukan pekerja asing dan bukannya hanya cakap-cakap kosong tetapi tiada langsung yang dilakukan.

Sumber: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MUTC)

MTUC

Comments
Loading...