Keistimewaan Penderma Darah Di Malaysia

0

Saban hari kita melihat bermacam-macam kempen dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk menderma darah baik daripada iklan di kaca TV mahupun poster-poster di dinding hospital dan lain-lain.

Hal ini kerana menderma darah merupakan satu amalan yang sangat baik. Mana tidaknya, dengan menderma darah, kita mampu menyelamatkan nyawa orang lain. Untuk makluman anda, bekalan darah di semua hospital pada hari ini masih tidak mencukupi. Masalah akan timbul apabila pesakit memerlukan transfusi darah untuk meneruskan kehidupan.

Perkara ini terjadi kerana kesedaran menderma darah dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum cukup baik. Pelbagai alasan diberikan apabila diajak untuk menderma darah dan alasan paling popular yang sering didengar adalah fobia pada jarum.

Tanpa anda sedari, menderma darah bukan sahaja amalan yang mulia serta mampu menyelamatkan nyawa orang lain tetapi pelbagai ganjaran serta keistimewaan turut menanti anda yang menderma darah. Keistimewaan ini ditawarkan oleh KKM sendiri dalam usaha menggalakkan rakyat Malaysia menderma darah.

Dalam artikel ini akan dikongsikan keistimewaan yang akan diperoleh oleh penderma-penderma darah di Malaysia. Semoga dengan mengetahui keistimewaan-keistimewaan ini akan menambahkan semangat anda untuk menderma darah.

KUMPULAN-KUMPULAN DARAH

Sebelum kami kongsikan keistimewaan tersebut, ada baiknya sekiranya kami kongsikan kumpulan-kumpulan darah terlebih dahulu sebagai “general knowledge” buat anda. Terdapat 4 kumpulan darah iaitu:

  • A
  • B
  • AB
  • O

Setiap daripada kita mempunyai kumpulan darah tersendiri. Kumpulan darah ini ditentukan melalui keturunan iaitu kumpulan darah ibu dan bapa.

Untuk makluman anda juga, kumpulan darah AB adalah penerima universal. Ini bermaksud orang yang mempunyai darah jenis AB layak menerima darah daripada semua jenis penyumbang tidak kiralah A, B, AB, atau O.

Manakala kumpulan dara jenis O adalah penyumbang universal dan mampu menyumbang darahnya kepada semua jenis darah sama ada A, B, AB ataupun O sendiri. Namun, darah jenis O hanya boleh menerima darah O untuk tujuan transfusi. Jadi, darah jenis O selalu mengalami kekurangan.

KEISTIMEWAAN YANG BAKAL DITERIMA OLEH PENDERMA DARAH DI MALAYSIA

Apabila menderma darah buat kali pertama, anda akan diberikan buku merah untuk mencatatkan kekerapan anda menderma darah. Jadi, setiap kali menderma darah, anda perlulah membawa buku merah ini untuk dicatatkan kekerapan anda.

Berikut merupakan keistimewaan-keistimewaan yang akan diperoleh oleh penderma darah di negara kita.

1 KALI MENDERMA DARAH

  • Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan (Tidak termasuk X-ray dan surgeri) dan wad kelas 2 untuk tempoh 4 bulan.

2 KALI MENDERMA DARAH DALAM TEMPOH 12 BULAN

  • Anda akan memperoleh suntikan pencegah Hepatitis B secara percuma.

2- 5 KALI MENDERMA DARAH

  • Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas 2 untuk tempoh 4 bulan.

6-10 KALI MENDERMA DARAH

  • Percuma rawatan pesakit luar selama 1 tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas 2 untuk tempoh 6 bulan.

11-15 KALI MENDERMA DARAH

  • Percuma rawatan pesakit luar selama 2 tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas 2 untuk tempoh 1 tahun.

16-20 KALI MENDERMA DARAH

  • Percuma rawatan pesakit luar selama dan rawatan perubatan dan wad kelas 2 untuk tempoh 2 tahun.

21-30 KALI MENDERMA DARAH

  • Percuma rawatan pesakit luar selama dan rawatan perubatan dan wad kelas 2 untuk tempoh 3 tahun.

31-40 KALI MENDERMA DARAH

  • Percuma rawatan pesakit luar selama dan rawatan perubatan dan wad kelas 1 untuk tempoh 4 tahun.

41-50 KALI MENDERMA DARAH

  • Percuma rawatan pesakit luar selama dan rawatan perubatan dan wad kelas 1 untuk tempoh 6 tahun.

LEBIH 50 KALI (PENDERMA WHOLE BLOOD) & 150 KALI (PENDERMA AFERESIS)

  • Percuma rawatan pesakit luar selama dan rawatan perubatan dan wad kelas 1 untuk tempoh 10 tahun dan wad kelas dua seumur hidup selepas 10 tahun di wad kelas satu.

Keistimewaan Penderma Darah Di Malaysia

Begitulah pelbagai keistimewaan yang akan diperoleh penderma darah. Jadi, dengan menderma darah anda bukan sahaja melakukan amalan mulia malah turut mendapat keistimewaan di hospital. Jangan tunggu lagi. Ayuhlah menderma darah!

Comments
Loading...