Ringkasan Intipati Bajet 2019 Untuk Bidang Pendidikan

0

Menjelang hujung tahun, tumpuan rakyat Malaysia pastinya akan terarah kepada pembentangan belanjawan bagi tahun berikutnya. Seperti juga tahun ini, pembentangan Belanjawan bagi tahun 2019 telah diadakan pada 2 November 2018 dan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Lim Guan Eng.

Pelbagai sektor menerima manfaat daripada belanjawan ini termasuk sektor kesihatan, penjawat awam dan lain-lain. Sektor pendidikan juga tidak terkecuali daripada menerima tempias Belanjawan 2019 ini.

Baca juga: Intipati Bajet 2019 Untuk Penjawat Awam

Bidang pendidikan merupakan bidang terpenting dalam memacu sesebuah negara mencapai kemajuan. Malah, tokoh Nelson Mandela pernah berkata “Pendidikan Adalah Senjata Yang Ampuh Untuk Meningkatkan Darjat Sesebuah Bangsa”.

Menyedari akan pentingnya pendidikan kepada negara, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk tujuan memperkasakan lagi sektor pendidikan dalam negara ini.

Dalam artikel ini akan dikongsikan Ringkasan Intipati Belanjawan 2019 Bagi Bidang Pendidikan. Sila baca artikel ini untuk mengetahui apakah inisiatif yang disediakan oleh kerajaan kepada sektor pendidikan bagi tahun 2019, berapakah dana yang dibekalkan kepada sekolah-sekolah dan lain-lain.

JUMLAH PERUNTUKAN UNTUK BIDANG PENDIDIKAN

Untuk makluman anda, dalam Belanjawan 2019 ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerima jumlah dana paling banyak. Dana ini telah diamanahkan kepada KPM untuk diagihkan serta membuat perancangan bagi memastikan bidang pendidikan di negara ini menjadi lebih efektif dan maju ke hadapan.

Hal ini kerana kerajaan sedar hanya pendidikan mampu membina semula dan memajukan negara ini. Berikut merupakan jumlah peruntukan atau dana yang dibekalkan kepada KPM untuk bidang pendidikan.

  • Peruntukan Untuk Bidang Pendidikan: RM60.2 bilion

Jika diteliti daripada nilai peratusan, jumlah peruntukan ini adalah sebanyak 19.1% daripada jumlah peruntukan keseluruhan bagi Belanjawan 2019 yang berjumlah sebanyak RM314.5 bilion.

KANDUNGAN BELANJAWAN 2019 UNTUK BIDANG PENDIDIKAN

Semasa Belanjawan 2019 dibentangkan, kerajaan telah mengumumkan pelbagai inisiatif khas buat bidang pendidikan. Banyak pihak akan memperoleh manfaat daripada pengumuman ini bukan sahaja bagi pihak pelajar malah bagi pihak pendidik juga.

Ingin tahu apakah kandungan Belanjawan 2019 untuk bidang pendidikan? Berikut kami kongsikan ringkasan intipati Belanjawan 2019 untuk bidang pendidikan sebagai makluman anda.

1.) Bantuan Pendidikan

Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2.9 blion bagi tujuan bantuan pendidikan ini. Bantuan ini adalah khas untuk membantu pelajar-pelajar miskin melalui tiga cara iaitu

  • Buku Teks
  • Makanan
  • Bantuan Tunai

2.) Menaik Taraf Dan Menyelenggara Semua Sekolah Di Malaysia

Sebanyak RM652 juta telah diperuntukkan bagi tujuan menaik taraf serta menyelenggara kesemua jenis sekolah yang ada di Malaysia. Jumlah peruntukan tahun ini adalah melebihi jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan tahun iaitu sebanyak RM615 juta. Berikut merupakan pembahagian jumlah peruntukan bagi setiap jenis sekolah di negara ini.

  • Sekolah Kebangsaan – RM250 juta
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) – RM50 juta
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) – RM50 juta
  • Sekolah Berasrama Penuh – RM50 juta
  • Maktab Rendah Sains Mara – RM50 juta
  • Sekolah Agama Bantuan Kerajaan – RM50 juta
  • Sekolah Mubaligh – RM50 juta
  • Sekolah Tahfiz – RM50 juta
  • Sekolah Pondok yang berdaftar – RM25 juta
  • Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau Conforming School – RM15 juta
  • Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) – RM12 juta

3.) Membina Semula Sekolah Dhaif Di Seluruh Negara

Bagi sekolah-sekolah dhaif di seluruh negara, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan membina semula sekolah-sekolah ini. Hal ini setelah mengambil kira keadaan belajar yang perlu sempurna dan selesa buat pelajar dan juga guru.

4.) Peruntukan Untuk Program Latihan Di Politeknik Dan Kolej Komuniti

Bersesuaian dengan konsep kedua-dua IPT ini iaitu Politeknik dan Kolej Komuniti yang lebih kepada pedagogi pembelajaran secara praktikal, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM206 juta untuk pihak Politeknik dan Kolej Komuniti merancang serta menyediakan program-program yang berkaitan dengan kursus dan juga program-program lain untuk pelajar-pelajar mereka.

5.) Peruntukan Untuk Program TVET

Selain itu, kerajaan turut tidak melupakan program TVET yang sedang hangat diperkatakan ketika ini. Umum mengetahui program ini amat sesuai dengan era Revolusi Industri 4.0 ketika ini kerana TVET bakal melahirkan belia yang mampu berdikari dan efektif.

Oleh itu, sebanyak RM20 juta telah disediakan bagi tujuan meningkatkan kompetensi belia melalui program TVET ini dan juga Program Bootcamp yang berkaitan dengannya.

6.) Peruntukan Untuk Memperkasa Aktiviti Penyelidikan di IPT

Sebelum ini terdapat rungutan daripada mahasiswa tentang kurangnya bajet dalam menjalankan penyelidikan. Hal ini kerana untuk menjalankan sesuatu penyelidikan memakan modal yang sangat banyak. Prihatin dengan perkara itu, Kerajaan Persekutuan menyediakan dana sebanyak RM400 juta bagi memperkasakan lagi aktiviti penyelidikan ini di IPT.

7.) Meneruskan Biasiswa Dan Pinjaman Pelajar

Terdapat kebimbangan sebelum ini tentang adakah kerajaan baharu ingin meneruskan biasiswa serta pinjaman yang diberikan kepada pelajar. Teka-teki ini terjawab semasa pembentangan Belanjawan 2019 apabila kerajaan mengumumkan akan meneruskan biasiswa serta pinjaman ini dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion. Manakala RM2 bilion daripada jumlah itu diperuntukkan khas buat pelajar bumiputera tajaan MARA.

8.) Peruntukan Kepada MyPAC

Dalam usaha menyediakan lebih ramai akauntan bumiputera yang diiktiraf, kerajaan telah mengumumkan untuk menyalur peruntukan sebanyak RM17.5 juta kepada Malaysia Professional Accountacy Centre (MyPAC) dengan harapan mampu melahirkan sebanyak 600 akauntan bumiputera yang diiktiraf dalam tempoh 5 tahun.

9.) Pembayaran Balik PTPTN Secara Potongan Gaji

Memahami penderitaan mahasiswa dalam membayar semula hutang PTPTN, kerajaan mengumumkan cara pembayaran balik yang lebih efektif dan tidak membebankan iaitu secara potongan gaji.

Jangan bimbang! Kerajaan tidak akan memotong kesemua jumlah gaji anda. Potongan akan dilakukan secara berjadual antara 2% hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam yang pendapatannya melebihi RM1000 sebulan.

10.) Menaikkan Pelepasan Cukai SSPN

Berita baik buat anda yang suka menabung melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Kerajaan mengumumkan pelepasan cukai SSPN ini dinaikkan daripada RM6000 kepada RM8000. Jadi, ayuhlah menabung dengan SSPN.

11.) Potongan Pinjaman Kepada Pelajar B40 Yang Mendapat Keputusan Kelas Pertama

Prihatin dengan kesukaran golongan B40 untuk membayar PTPTN, kerajaan telah bersetuju untuk membuat potongan pinjaman kepada pelajar-pelajar daripada golongan ini dengan syarat mereka mestilah mendapat keputusan kelas pertama.

12.) Menghapus Baki Hutang Peminjam Berusia 60 Tahun Ke Atas

Bagi peminjam yang sudah mencecah usia 60 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, kerajan telah mengumumkan untuk menghapuskan baki hutang mereka yang masih bersisa. Peruntukan untuk tujuan ini adalah sebanyak RM4.2 juta dan bakal memanfaatkan seramai 350 peminjam.

Begitulah senarai intipati Belanjawan 2019 untuk bidang pendidikan. Diharapkan dengan peruntukan berbilion ringgit yang kerajaan telah peruntukan ini dapatlah memberi manfaat serta menambah baik lagi bidang pendidikan di negara ini.