Ringkasan Intipati Bajet 2019 Untuk Penjawat Awam

0

Belanjawan 2019 telah dibentangkan pada 2 November 2018 oleh Yang Berhormat Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia di Dewan Rakyat pada jam 4 petang. Belanjawan merupakan rancangan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh satu tahun fiskal untuk tujuan pembangunan negara dengan menggunakan hasil pendapatan negara seperti cukai, duti dan sebagainya.

Pembentangan belanjawan kali ini mencatatkan sejarah apabila ianya dibentangkan oleh kerajaan baharu iaitu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah mendapat mandat untuk mentadbir negara pada Pilihanraya Umum (PRU14) Mei lalu.

TEMA BELANJAWAN 2019

Kerajaan Persekutuan telah menetapkan tema untuk belanjawan kali ini. Tema bagi Belanjawan 2019 adalah seperti berikut

  • Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera

Semestinya ramai yang mengikuti belanjawan ini untuk mengetahui ke mana hala tuju ekonomi negara yang dipacu oleh kerajaan. Bukan itu sahaja, rakyat juga semestinya mengharapkan inisiatif daripada kerajaan sebagai usaha untuk mengurangkan beban hidup yang kini semakin meningkat oleh kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Salah satu golongan yang sering menerima tempias daripada belanjawan adalah golongan penjawat awam. Kerajaan akan mengumumkan penghargaan kepada penjawat awam atas kesetiaan mereka serta kerja keras mereka dalam membangunkan negara.

Sekiranya anda merupakan seorang penjawat awam, anda juga pastinya ingin mengetahui intipati yang terkandung dalam Belanjawan 2019 ini. Jangan risau! Kami akan kongsikan dengan anda Intipati Belanjawan 2019 Untuk Penjawat Awam dalam artikel ini.

JUMLAH PERUNTUKAN UNTUK BELANJAWAN 2019

Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan Belanjawan tahun ini. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan bahawa jumlah wang yang diperuntukkan adalah seperti berikut.

  • Jumlah Peruntukan Belanjawan 2019: RM314.5 billion

Menurut Lim Guan Eng lagi, jumlah wang itu diagihkan kepada dua bahagian iaitu RM259.8 bilion untuk perbelanjaan pengurusan dan RM54.7 bilion lagi adalah untuk perbelanjaan pembangunan.

Jumlah peruntukan belanjawan 2019 adalah lebih tinggi daripada peruntukan Bajet 2018. Untuk makluman anda, jumlah peruntukan bagi Bajet 2018 adalah sebanyak RM290.4 bilion sahaja.

KANDUNGAN BELANJAWAN 2019 UNTUK PENJAWAT AWAM

Daripada jumlah kewangan yang diperuntukkan untuk Belanjawan 2019, sejumlah besar daripada wang tersebut telah ditetapkan khas kepada inisiatif buat penjawat awam. Penjawat awam dianggap sebagai benteng kemajuan negara dan memainkan peranan besar dalam mencapai kemajuan Malaysia.

Oleh sebab itulah kerajaan memandang tinggi jasa penjawat awam dan menyediakan inisiatif sebagai menghargai jasa mereka. Berikut kami kongsikan kandungan Belanjawan 2019 khas untuk penjawat awam.

1.) Bayaran Khas Kepada Penjawat Awam

Lim Guan Eng telah mengumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 bahawa penjawat awam gred 54 ke bawah akan menerima bonus sebanyak RM500. Pembayaran ini akan dibuat pada hujung tahun 2018.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, pembayaran akan dibuat pada tahun selepas pembentangan bajet dilakukan. Kali ini, pembayaran bonus dilakukan pada tahun tersebut juga.

2.) Bayaran Khas Kepada Pesara Kerajaan

Untuk pesara kerajaan pula, bayaran khas akan diberikan sebanyak RM250. Sama juga seperti bonus penjawat awam, bayaran ini akan dilunaskan pada akhir tahun 2018.

3.) Membaik Pulih Kuaters Kerajaan

Berita baik buat penjawat awam yang tinggal di kuarters kerajaan. Prihatin dengan rintihan penjawat awam yang tinggal di kuarters kerajaan tentang keadaan kurang memuaskan kuaters tersebut, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM400 juta bagi tujuan penyelenggaraan serta membaik pulih kuaters-kuaters ini.

4.) Peruntukan Buat SPRM

Bagi meningkatkan lagi tahap efektif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membendung gejala rasuah di negara ini, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM286.8 juta untuk institusi ini.

Jumlah peruntukan untuk SPRM pada tahun ini lebih tinggi daripada tahun lepas yang hanya memperuntukkan sebanyak RM242.1 juta. Selain itu, jumlah kakitangan SPRM turut akan ditambah sebanyak 100 orang bagi memastikan kerja-kerja dapat dijalankan dengan lebih efektif.

5.) Inisiatif Buat Kementerian Dalam Negeri & Kementeria Pertahanan

Keselamatan negara merupakan asas kemajuan sesebuah negara. Menyedari perkara itu, kerajaan juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pertahanan.

6.) Inisiatif Buat Pegawai Lantikan Kontrak

Pegawai lantikan kontrak akan turut menerima inisiatif daripada kerajaan Malaysia untuk memastikan mereka menikmati kemudahan yang sama seperti penjawat awam yang lain. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta dengan tujuan untuk memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa mereka.

7.) Kenaikan Gaji Minimum

Jika sebelum ini, kerajaan mengumumkan kenaikan gaji minimum sebanyak RM1050, hari ini semasa pembentangan Belanjawan 2019, gaji minimum dinaikkan kepada RM1100 di seluruh Malaysia bermula pada 1 Januari 2019.

Jika diteliti dalam manifesto Pakatan Harapan pada PRU 14 yang lalu, mereka berjanji akan menaikkan jumlah gaji minimum sebanyak RM1500. Namun, dengan kenaikan gaji berperingkat ini tidak mustahil gaji minimum RM1500 dapat diberikan.

Begitulah kesemua senarai intipati Belanjawan 2019 untuk penjawat awam di Malaysia. Nikmatilah kesemua inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan ini khas untuk anda.

Comments
Loading...