Ringkasan Intipati Bajet 2019 Untuk Sektor Kesihatan

0

Sektor kesihatan merupakan antara salah satu sektor yang paling penting di mana-mana negara sekalipun. Adalah menjadi satu kewajiban buat kerajaan di setiap negara untuk menitikberatkan sektor kesihatan di negara masing-masing.

Hal ini kerana jika taraf kesihatan di sesebuah negara itu berada di paras yang teruk, semestinya negara tersebut bakal menghadapi kesukaran dalam mencapai kemajuan. Apabila tahap kesihatan berada pada paras yang teruk, rakyat di negara itu pastinya tidak proaktif dan tidak akan mampu bekerja keras untuk memajukan negara.

Baca juga: Ringkasan Intipati Bajet 2019 Untuk Penjawat Awam

Di negara kita Malaysia, kerajaan memandang serius sektor kesihatan ini. Malah, pelbagai inisiatif telah dirancang khas untuk sektor kesihatan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk meningkatkan lagi taraf kesihatan rakyat di negara ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang dijalankan pada 2 November 2018 di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng, kerajaan telah mengumumkan banyak peruntukan serta inisiatif untuk sektor kesihatan.

Kami akan kongsikan peruntukan serta inisiatif tersebut dalam artikel Ringkasan Intipati Belanjawan 2019 Bagi Sektor Kesihatan ini.

JUMLAH PERUNTUKAN UNTUK SEKTOR KESIHATAN

Untuk makluman anda, jumlah peruntukan yang diberikan oleh kerajaan untuk sektor kesihatan adalah yang kedua tertinggi selepas sektor pendidikan. Berikut merupakan jumlah peruntukan bagi sektor kesihatan.

  • Jumlah Peruntukan Untuk Sektor Kesihatan: RM29 bilion.

Jumlah peruntukan bagi sektor kesihatan untuk tahun ini meningkat sebanyak 7.8% daripada jumlah peruntukan pada tahun lepas. Hal ini menunjukkan kesedaran serta keprihatinan kerajaan terhadap kesihatan rakyat Malaysia semakin meningkat.

Baca juga: Intipati Bajet 2019 Untuk Sektor Pendidikan

Bukan itu sahaja, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut mengakui bahawa jumlah peruntukan pada belanjawan tahun ini adalah yang paling tinggi yang pernah diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang sejarah belanjawan.

KANDUNGAN BELANJAWAN 2019 UNTUK SEKTOR KESIHATAN

Sejumlah wang yang sangat besar telah dilaburkan oleh pihak kerajaan dalam sektor kesihatan ini. Jadi, pastinya kerajaan mengharapkan pelbagai program dan usaha akan dijalankan oleh kementerian yang diamanahkan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan tahap kesedaran serta taraf kesihatan rakyat Malaysia semakin meningkat.

Berikut kami kongsikan inisiatif serta intipati yang terkandung dalam Belanjawan 2019 bagi sektor kesihatan.

1.) Memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40

Menyedari akan pentingnya insuran ataupun simpanan untuk kesihatan, kerajaan dengan kerjasama sebuah syarikat insuran swasata iaitu The Great Eastern akan menjayakan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40 yang bertujuan membantu menyediakan dana untuk golongan B40 bagi tujuan kesihatan. Golongan B40 adalah golongan yang kurang berkemampuan.

2.) Meneruskan Program Saringan Percuma

Kerajaan baharu yang memerintah hari ini pernah berjanji bahawa mereka akan mengekalkan inisiatif yang berguna kepada rakyat walaupun program tersebut diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Pada pembentangan belanjawan tahun ini, kerajaan baharu jelas menunaikan janjinya itu apabila mengumumkan untuk meneruskan program saringan percuma yang dijalankan sebelum ini.

Program ini melibatkan saringan percuma pengesanan kanser payudara melalui proses mamogram, program vaksinasi HPV serta ujian saringan Pap Smear di hospital-hospital serta klinik-klinik kerajaan. Untuk menjayakan program ini, sejumlah RM20 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan.

3.) Peruntukan Bagi Rawatan Penyakit

Selain itu, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi tujuan rawatan penyakit-penyakit seperti penyakit jarang jumpa dan penyakit virus Hepatitis C. Selain itu, peruntukan ini juga adalah untuk menjalankan program menangani masalah pertumbuhan bantut di kalangan kanak-kanak, saringan dan rawatan haemodialisis dan Enhanced Primary Healthcare (EnPHC).

4.) Inisiatif Mengurangkan Pengambilan Minuman Bergula

Setelah banyak kajian yang dijalankan mendapati pelbagai jenis penyakit yang dihidapi oleh ramai rakyat Malaysia adalah disebabkan kerana pengambilan gula yang terlampau banyak, kerajaan telah mengambil inisiatif bijak dalam mengajak rakyat untuk mengurangkan pengambilan minuman bergula.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan bercadang akan memperkenalkan duti eksais terhadap dua kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yangs sedia diminum.

Duti tersebut adalah pada kadar 40 sen setiap liter dan menurut cadangan, duti itu akan diperkenalkan mulai 1 April 2019.

Semoga usaha kerajaan menyediakan peruntukan yang banyak untuk sektor kesihatan akan membuahkan hasil. Diharapkan semoga taraf kesihatan rakyat Malaysia akan bertambah baik selepas ini berkat daripada usaha kerajaan menyediakan program-program rawatan serta kesihatan.

Comments
Loading...