Ringkasan Intipati Belanjawan 2019 Bagi Sektor Pelancongan

0

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang dijalankan pada 2 November 2018, kerajaan telah mengumumkan sejumlah peruntukan yang tinggi serta inisiatif dalam memastikan sektor pelancongan di negara ini berkembang maju.

Hal ini kerana sektor pelancongan telah banyak menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kita. Malaysia sangat bertuah kerana kaya dengan tempat-tempat pelancongan yang menarik seperti Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Tioman dan lain-lain lagi.

Contoh-contoh tempat pelancongan di atas adalah merupakan contoh tempat pelancongan rekreasi yang ada di negara kita. Pelancong datang ke tempat-tempat pelancongan ini untuk tujuan rekreasi dan merehatkan minda.

Selain tempat pelancongan rekreasi, Malaysia turut kaya dengan tempat-tempat pelancongan yang lain. Sebagai contoh, pelancong datang ke Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar untuk membeli belah. Apa jua jenis pelancongan tersebut, tempat-tempat pelancongan yang ada di Malaysia ini mampu untuk menarik minat pelancong untuk datang ke negara ini.

Menyedari akan besarnya sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negara, kerajaan telah menzahirkan rasa komited untuk menyediakan inisiatif serta memberi peruntukan kepada sektor ini bagi memastikan sektor pelancongan ini berkembang maju di samping mampu menarik lebih ramai lagi pelancong serta meningkatkan lagi ekonomi negara.

YB Tuan Lim Guan Eng yang mewakili pihak kerajaan untuk membentangkan Belanjawan 2019 telah mengumumkan 3 intipati penting khas untuk sektor pelancongan di negara ini. Dalam artikel ini akan kami kongsikan Ringkasan Intipati Belanjawan 2019 Bagi Sektor Pelancongan untuk anda.

KANDUNGAN BELANJAWAN 2019 UNTUK SEKTOR PELANCONGAN

Walaupun hanya 3 intipati diumumkan untuk sektor pelancongan namun, peruntukan yang dibekalkan adalah tinggi dan mampu memberi kesan yang baik kepada sektor pelancongan di negara ini. Antara intipati atau kandungan Belanjawan 2019 yang melibatkan sektor pelancongan adalah seperti berikut.

1.) Menyediakan Geran Sempadan

Kerajaan sedar untuk menarik lebih ramai pelancong, satu kerjasama dengan pihak swasta perlu diadakan. Hal ini kerana pihak swasta banyak memainkan peranan dalam menarik minat pelancong untuk ke negara ini. Sebagai contoh, agensi pelancongan swasta berjaya menarik perhatian pelancong ke negara ini dengan pakej yang murah yang ditawarkan oleh mereka.

Menyedari akan pentingnya kerjasama ini, kerajaan telah mengumumkan untuk menyediakan geran sempadan kepada syarikat swasta bagi menjalankan program promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa dengan bertujuan untuk meningkatkan lagi kemasukan pelancong ke negara ini.

Peruntukan yang diberikan oleh kerajaan untuk menyediakan geran sempadan ini adalah sebanyak RM 100 juta.

2.) Menjadikan Pulau Langkawi Dan Pulau Pangkor Sebagai Pulau Bebas Cukai

Salah satu tujuan utama pelancong datang ke pusat-pusat peranginan rekreasi contohnya seperti Pulau Langkawi selain daripada suasananya yang nyaman adalah harga barangan yang dijual di situ adalah lebih murah kerana tempat-tempat tersebut adalah diisytiharkan sebagai “duty free” ataupun bebas cukai. Ini bermaksud tiada cukai dikenakan bagi barangan-barangan yang dijual di situ.

Namun, untuk makluman anda, tidak semua pulau-pulau di Malaysia diisytiharkan sebagai bebas cukai. Sebagai contoh, Pulau Pangkor adalah pulau yang belum diiktiraf sebagai bebas cukai.

Jadi, untuk menarik lebih ramai pelancong, kerajaan telah mengisytiharkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai. Selepas ini barangan-barangan yang dijual di Pulau Pangkor akan diturunkan harga kerana tidak lagi dikenakan cukai.

Sementara itu, satu lagi pulau yang menjadi tarikan pelancong di Malaysia adalah Pulau Langkawi. Sesuai dengan slogan “Langkawi Permata Kedah”, tidak dapat dinafikan lagi Pulau Langkawi ini bukan sahaja merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Kedah tetapi juga kepada ekonomi Malaysia.

Demi menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Langkawi, kerajaan mengumumkan untuk memperkembangkan lagi taraf Pulau Langkawi ini sebagai pulau bebas cukai.

3.) Peruntukan Untuk Pelancongan Kesihatan

Selain daripada tujuan pelancongan untuk rekreasi, merehatkan minda dan sebagainya, ramai juga pelancong yang datang ke negara ini untuk tujuan pelancongan kesihatan. Apakah yang anda faham dengan perkataan pelancongan kesihatan tersebut?

Pelancongan kesihatan adalah jenis pelancongan yang tertumpu lebih ke arah tujuan rawatan dan program kesihatan yang lain. Contoh yang mudah adalah seseorang itu datang ke Malaysia bertujuan untuk menerima rawatan di sini. Secara tidak langsung dia tetap dianggap melancong ke Malaysia.

Pelancongan jenis ini telah menyumbangkan keuntungan yang sangat banyak untuk ekonomi negara. Pada tahun 2014, seramai 800 000 pelancong datang ke Malaysia untuk tujuan mendapatkan rawatan dan keuntungan daripada kedatangan pelancong tersebut adalah sebanyak RM777 juta bagi tahun tersebut.

Oleh yang demikian, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada Malaysia Healthcare Tourism Council (MHTC) untuk menjalin kerjasama dengan hospita-hospital swasta terkemuka dengan tujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan terkenal.

Semoga usaha kerajaan memperuntukkan wang yang banyak bagi sektor pelancongan ini mampu membawa pulangan yang terbaik untuk ekonomi negara Malaysia seterusnya dapatlah sedikit sebanyak membantu memulihkan semula ekonomi negara.

Comments
Loading...