Ringkasan Intipati Belanjawan 2019 Bagi Sektor Pengangkutan

0

Sektor pengangkutan turut memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara walaupun ianya dilihat sebagai satu sektor yang remeh. Sebagai contoh, pengangkutan awam telah memberikan sumbangan yang jumlahnya jutaan ringgit kepada ekonomi negara setiap tahun.

Bukan itu sahaja, pengangkutan juga merupakan satu sektor yang sangat penting untuk kemudahan hidup rakyat Malaysia. Mana tidaknya, dengan adanya sistem pengangkutanlah rakyat dapat ke sana dan ke sini dengan mudah.

Cuba bayangkan jika tiada pengangkutan di negara ini. Mampukah kita pergi ke tempat kerja setiap hari jika kedudukan tempat kerja tersebut jauh daripada rumah? Semestinya tidak.

Oleh sebab itulah, kerajaan bertindak bijak dengan menitikberatkan sektor pengangkutan di negara ini. Dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan, pihak Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng telah mengumumkan pelbagai peruntukan dan inisiatif khas untuk sektor pengangkutan.

Ingin tahu apakah inisiatif serta peruntukan tersebut? Dalam artikel ini akan dikongsikan Ringkasan Intipati Belanjawan 2019 Bagi Sektor Pengangkutan yang telah dibentangkan oleh kerajaan.

JUMLAH PERUNTUKAN SEKTOR EKONOMI

Untuk makluman anda, jumlah keseluruhan peruntukan untuk Belanjawan 2019 adalah sebanyak RM314.5 bilion. Jumlah ini diagihkan kepada beberapa bahagian iaitu untuk sektor ekonomi dan juga sektor sosial, sektor keselamatan dan lain-lain.

Sektor ekonomi merangkumi perdagangan, pengangkutan, industri, tenaga dan kemudahan awam serta pertanian. Jumlah peruntukan yang diberikan oleh kerajaan untuk sektor ekonomi adalah seperti berikut

  • Jumlah Peruntukan Untuk Sektor Ekonomi: RM29.2 bilion

KANDUNGAN BELANJAWAN 2019 UNTUK SEKTOR PENGANGKUTAN

Berikut adalah kandungan intipati dalam Belanjawan 2019 bagi sektor Pengangkutan

1.) Mempromosikan Penggunaan Pengangkutan Awam

Oleh kerana sektor pengangkutan awam mampu memberi sumbangan yang banyak kepada ekonomi negara, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam ini kepada rakyat.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, YB Tuan Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan sebanyak RM240 juta untuk sektor pengangkutan awam. Kerajaan turut memperkenalkan pas bulanan berharga RM100 yang meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL tanpa had perjalanan. Pas ini akan mula diperkenalkan pada 1 Januari 2019.

2.) Tabung Pengangkutan Awam

Tabung Pengangkutan Awam diperkenalkan dengan tujuan untuk membantu pengendali serta pemandu pengangkutan awam seperti teksi, bas dan lain-lain. Insentif ini menawarkan subsidi pada kadar faedah sebanyak 2% kepada pemandu serta pengendali ini. Bagi tujuan memperkenalkan Tabung Pengangkutan Awam ini, sebanyak RM500 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan.

3.) Membekukan Kenaikan Tol

Majoriti rakyat mengeluh kerana kewangan mereka terbeban disebabkan tol. Lebih sengsara lagi apabila sebelum ini kadar tol sering meningkat dari semasa ke semasa. Pada PRU yang lalu, Pakatan Harapan telah menetapkan manifesto untuk menghapuskan tol di negara ini.

Janji tersebut mereka tunaikan pada awal pemerintahan dahulu setelah mereka berjaya memansuhkan beberap buah tol. Walaupun tidak semua tol berjaya dimansuhkan kerana faktor ekonomi yang kian meleset namun usaha kerajaan untuk menunaikan janjinya haruslah dipuji.

Kerajaan mencari alternatif lain bagi meringankan beban rakyat menerusi kutipan wang mereka di tol ini. Jadi, pada pembentangan bajet yang lalu, kerajaan telah mengumumkan pembekuan kenaikan tol. Hal ini bermakna tiada lagi kenaikan kadar tol selepas ini.

Untuk tujuan ini, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM700 juta. Walaupun tol tidak dimansuhkan namun pembekuan kenaikan kadar tol ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ekonomi rakyat.

4.) Mansuhkan Tol Motosikal Di Jambatan Pulau Pinang Serta Lebuhraya Laluan Kedua Di Johor

Satu lagi inisiatif yang diambil oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat berkaitan dengan tol ialah kerajaan mengumumkan untuk memansuhkan tol bagi kenderaan jenis motosikal di Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang serta Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Bukan itu sahaja, tol bagi laluan motosikal di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor turut akan dimansuhkan. Sebanyak 20 juta telah diperuntukkan untuk tujuan ini. Pemansuhan ini akan bermula pada tarikh 1 Januari 2019.

5.) Memberikan Subsidi Minyak

Kerajaan turut mengumumkan pemberian subsidi minyak kepada pemilik kereta yang berkapasiti enjin 1500 cc dan ke bawah manakala untuk motosikal pula perlulah berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah. Subsidi ini sah untuk sebuah kenderaan sahaja bagi setiap pemilik.

Subsidi yang diumumkan adalah berbentuk subsidi petrol sebanyak 30 sen seliter untuk minyak RON 95 terhad kepada 100 liter sahaja sebulan bagi kereta manakala bagi motosikal pula had maksimum sebulan adalah sebanyak 40 liter.

Dengan pemberian subsidi ini, kerajaan telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM2 bilion dan mampu memberi manfaat kepada 2.6 pemilik motosikal serta 4 juta pemilik kereta di negara ini.

Semoga dengan intipati yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2019 untuk pengangkutan ini dapat meningkatkan lagi taraf pengangkutan di negara kita supaya setaraf dengan pengangkutan di negara maju yang lain serta dapat sedikit-sebanyak mengurangkan beban rakyat.

Comments
Loading...