Semakan Online Wang Tak Dituntut Dan Proses Bayaran Balik WTD

0

Berikut adalah maklumat lengkap bagaimana untuk membuat semakan online Wang Tak Dituntut dan proses bayaran balik WTD.

Untuk makluman, permohonan bayaran balik WTD boleh dibuat secara percuma tanpa sebarang caj.

Kementerian Kewangan atau  Pendaftar Wang Tak Dituntut tidak pernah melantik mana-mana individu/firma/syarikat sebagai orang tengah atau agen untuk urusan tuntutan bayaran balik Wang Tak Dituntut.

Pengenalan: Apa Itu Wang Tak Dituntut

Terdapat tiga (3) kategori Wang Tak Dituntut.

Pertama – wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu (1) tahun, termasuklah:

  • Gaji, upahan, bonus, komisen dan wang lain yang kena dibayar kepada kakitangan;
  • Dividen;
  • Keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan;
  •  tuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran;
  • Draf bank, cashier’s order, dan dokumen lain yang mempunyai fungsi yang serupa di mana tempoh sah lakunya telah luput;
  • Simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang;
  • Cagaran dan deposit apabila tujuan wang itu dikutip telah tercapai.
  • Pemiutang pelbagai atau penghutang pelbagai berbaki kredit.

Kedua – wang dalam sesuatu akaun yang tidak lagi dikendalikan oleh empunya akaun dalam satu tempoh masa tidak kurang daripada tujuh tahun, contohnya:

  • Akaun simpanan;
  • Akaun semasa;
  • Simpanan tetap (yang mempunyai arahan pembaharuan automatik).

Ketiga – wang dalam sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urusniaga dalam satu tempoh masa tidak kurang dari dua tahun, seperti:

  • Akaun pemiutang dagangan
  • Akaun penghutang dagangan berbaki kredit

Mengikut Akta Wang Tak Dituntut 1965, pengeluaran arahan tetap oleh pemegang akaun boleh diterima oleh institusi kewangan sebagai urusan dikendalikan oleh empunya.

Antara yang wajib mematuhi akta tersebut adalah:

  • Syarikat yang ditubuhkan di bawah peruntukan Akta Syarikat 1965, termasuk syarikat asing yang ditetapkan di bawah Bab 2 Bahagian XI Akta tersebut;
  • Lembaga yang ditubuhkan untuk menguruskan kumpulan wang berkaitan dengan faedah-faedah persaraan;
  • Pertubuhan dan koperasi yang didaftarkan;
  • Perbadanan, pihak berkuasa awam dan kesatuan sekerja; dan
  • Firma iaitu pihak-pihak yang bersatu bagi menjalankan perniagaan.

Bagi tujuan perkiraan tempoh masa tujuh tahun sepertimana yang ditetapkan dalam Akta, ianya bermula dari tarikh arahan tetap terakhir yang dikeluarkan oleh pemegang akaun.

Pendaftar WTD

Pendaftar Wang Tak Dituntut bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas berkaitan WTD seperti:

  1. Pemegang amanah terhadap WTD yang diterima.
  2. Membayar balik WTD kepada empunya WTD sekiranya terdapat permohonan tuntutan.
  3. Memeriksa rekod syarikat atau firma bagi memastikan kepatuhan peruntukan Akta.
  4. Mencadangkan kompaun dan hukuman denda terhadap syarikat atau firma yang gagal mematuhi peruntukan Akta.

Semakan Online Wang Tak Dituntut

wang tak dituntut

Berikut adalah panduan permohonan tuntutan wang tak dituntut.

  • Apabila Pendaftar WTD berpuashati bahawa pemohon adalah empunya yang sah, Pendaftar akan membayar kepada pemohon WTD dari Akaun Amanah Disatukan atau Akaun Hasil Disatukan.
  • Pemohon perlu menyakinkan Pendaftar WTD bahawa beliau adalah empunya sah atau mempunyai hak di sisi undang-undang ke atas WTD tersebut.
  • Tiada tempoh masa yang dihadkan bagi permohonan tuntutan WTD.
  • Pendaftar WTD telah menetapkan garis panduan permohonan tuntutan WTD dengan menyenaraikan dokumen yang perlu dikemukakan semasa membuat tuntutan (Sila rujuk Brosur Garis Panduan Permohonan Tuntutan WTD).

Anda boleh download segala borang/dokumen yang diperlukan ketika proses permohonan Wang Tak Dituntut di portal rasmi JANM.

Sistem eGUMIS akan dilancarkan tahun depan untuk memudahkan rakyat Malaysia membuat semakan online wang tak dituntut.

Sumber: Jabatan Akauntan Negara

Comments
Loading...