Akademi Perubatan Malaysia Cadang Sambung PKP Sampai Lepas Raya Aidilfitri

154

Akademi Perubatan Malaysia menggesa kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kata kumpulan profesional itu, balik kampung secara beramai-ramai boleh memburukkan lagi penyebaran wabak Covid-19.

Menurut mereka, penjarakan sosial akan gagal apabila perantau yang balik beraya berkumpul di hentian serta kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya.

“Penarikan balik PKP atau penguatkuasaan yang terlalu longgar akan menyebabkan segala kebaikan yang telah dicapai daripada duduk di rumah selama empat minggu kebelakangan ini, menjadi sia-sia.

“Perang melawan Covid-19 masih jauh lagi, banyak pengorbanan yang telah dan akan terus dilakukan dalam tahun ini,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, meskipun keinginan untuk meluangkan masa bersama sanak-saudara sempena Hari Raya adalah sesuatu yang boleh difahami, namun dalam berdepan wabak yang belum pernah dihadapi ini, penjarakan sosial perlu terus dilakukan sehinggalah vaksin baru ditemui.

“Disebabkan pandemik Covid-19, penjarakan sosial perlu menjadi norma baru sekurang-kurangnya untuk satu tempoh waktu sehingga keadaan menjadi terkawal …

“Untuk tahun ini sekurang-kurangnya, perlu ada kawalan, pemantauan atau mungkin haramkan perhimpunan, sama ada perhimpunan Ramadan, Aidilfitri, atau Haji,” kata kumpulan itu.

Akademi itu turut yang mengingatkan hal sama terhadap Pesta Kaamatan (30 Mei di Sabah) dan Hari Gawai (1 Jun di Sarawak) yang akan datang.

Fasa dua PKP dijangka tamat pada 14 April, manakala Hari Raya Aidilfitri dijangka jatuh pada 24 Mei. KKM dijangka menyediakan data pada 10 April kepada kerajaan untuk kerajaan menentukan sama ada melanjutkan perintah itu atau pun tidak.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM akan mengemukakan beberapa cadangan untuk pertimbangan kabinet, sementara menteri kanan Ismail Sabri Yaakob berkata pelonggaran PKP kemungkinan bergantung pada bilangan kes di setiap daerah.

Bagaimanapun, sekiranya PKP dilanjutkan, kata kumpulan itu, kerajaan harus melipatgandakan usaha untuk mengurangkan kesan pandemik itu terhadap sosioekonomi rakyat.

“Kami sedar pandemik ini telah dan akan terus mempunyai kesan negatif yang besar terhadap semua aspek ekonomi Malaysia. Sebab itulah pendekatan menyeluruh yang kuat diperlukan, baik di pihak kerajaan mahupun rakyat,” tambah kumpulan itu lagi.

Sumber

Comments
Loading...