Bahayanya Crystal Slime Clay Untuk Anak Anda – Lendir Cantik Yang Mengandungi Racun BORAX

0

Ramai daripada kita yang mengetahui apa itu permainan Crystal Slime Clay. Malah ada yang turut membeli permainan ini untuk anak-anak mereka. Sudah menjadi trend ketika ini untuk kanak-kanak bermain permainan ini.

Lihat sahaja di sekolah-sekolah rendah. Sudah berapa puluh permainan ini dirampas oleh guru kerana murid-murid membawanya ke sekolah dan bermain dengannya di dalam kelas.

Permainan ini dijual di merata-rata tempat. Amat mudah untuk anda dapati. Warnanya yang cantik bersinar juga berjaya menarik perhatian kanak-kanak. Barangan mainan ini kebanyakannya diimport dari luar negara.

slime clay

Persoalannya, adakah mainan ini selamat untuk digunakan? Jawapannya ialah tidak sama sekali. Mainan ini mempunyai cecair toksik yang sangat merbahaya dan mampu menyebabkan kematian.

Jadi, anda adalah dinasihatkan untuk tidak sesekali membeli permainan ini buat anak-anak anda. Kesihatan dan keselamatan mereka adalah lebih utama. Berikut merupakan fakta tentang bahayanya permainan Crystal Slime Clay yang patut anda tahu.

Menerusi kajian yang dilakukan mendapati mainan Crystal Slime Clay ini mengandungi bahan toksik yang dipanggil Sodium Tetraborate yang turut dikenali sebagai BORAX. BORAX mampu menyebabkan anda keracunan jika tertelan. Bukan itu sahaja, lebih teruk lagi ialah BORAX juga boleh menyebabkan kematian.

APAKAH ITU TOKSIK BORAX?

Sodium Tetraborate ataupun BORAX adalah merupakan mineral boron dan garam yang diperoleh dari bawah tanah. BORAX turut digunakan sebagai bahan tambahan dalam makanan bagi menyedapkan makanan tersebut. Namun, beberapa buah negara seperti Thailand dan Amerika Syarikat telah mengharamkan BORAX kerana melihat kepada kesan sampingannya yang berbahaya.

borax 1

BORAX boleh meracuni organ-organ dalam badan anda sekiranya anda tertelan bahan toksik ini. Begitulah bahayanya jika anak-anak anda tertelan Crystal Slime Clay yang mereka main.

Selain itu, BORAX juga boleh menyebabkan tindak balas biokimia berlaku dalam sistem saraf manusia. Hal ini akan menyebabkan fungsi sistem endokrin anda terjejas.

BAGAIMANA BORAX BOLEH MASUK KE DALAM BADAN?

Untuk membolehkan BORAX masuk ke dalam badan, anda tidak perlu menelan Crystal Slime Clay sebenarnya. Cukuplah dengan cara anda menyentuh mulut selepas memegang Crystal Slime Clay. Toksik BORAX yang masih tersisa di tangan anda itu akan menyerap masuk dengan cepat ke dalam mulut anda apabila mulut anda disentuh.

slime 2

Untuk pengetahuan anda juga, kuantiti BORAX yang diperlukan untuk menjejaskan kesihatan anda adalah tidak banyak. Cukup sekadar 1 hingga 3 gram BORAX yang masuk dalam badan anda sudah memadai untuk meracuni anda.

Jika kuantiti BORAX di dalam badan melebihi 15 gram akan menyebabkan kematian. Bagi kanak-kanak pula kuantiti BORAX sebanyak 3 gram di dalam badan sudah cukup untuk menamatkan riwayat mereka.

Crystal Slime Clay ini dijual secara meluas di pasaran walaupun tanpa nama pengeluar dan juga label keselamatan. Warnanya yang cantik dan fizikalnya yang lembut menarik perhatian kanak-kanak. Crystal Slime Clay ini sebenarnya diperbuat daripada pelbagai bahan-bahan berbahaya seperti campuran toksik BORAX, pewarna tiruan dan macam-macam lagi.

Anda dinasihatkan untuk tidak sama sekali membeli permainan Crystal Slime Clay ini. Walaupun rupa bentuknya cantik dengan aneka warna serta harganya murah dan mampu dibeli oleh semua orang namun ingatlah bahawa bahan mainan ini sangatlah berbahaya dan mampu meragut nyawa anda. Jangan kerana keseronokan bermain mainan ini akan membawa musibah kepada anda.

Comments
Loading...