Perdana Menteri Umum Kenaikan Gaji Tahunan Sebanyak Satu Tangga Bagi Penjawat Awam

0

Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak telah mengumumkan satu berita gembira buat semua penjawat awam dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) pada tahun ini. Dalam MAPPA yang bertemakan ‘Demi Negaraku Malaysia’ itu, Perdana Menteri mengumumkan 9 amanat dan salah satunya adalah kenaikan gaji penjawat awam.

Perdana Menteri telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak 1 tangga gaji berkuatkuasa 1 Julai 2018 ini. Kerajaan telah mengeluarkan sebanyak RM1.4 billion bagi tujuan kenaikan gaji ini.

penjawat awam

Dengan ini, penjawat awam akan menerima dua kali kenaikan gaji iaitu kenaikan asal gaji tahun ini dan juga kenaikan gaji yang baru diumumkan ini.

Amanat ini dibuat adalah untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi ekonomi yang tidak menentu ketika ini. Semoga dengan kenaikan gaji sebanyak satu tangga gaji ini sedikit-sebanyak dapat membantu penjawat awam dalam menempuhi keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

AMANAT LAIN YANG DIUMUMKAN OLEH PERDANA MENTERI

Selain daripada mengumumkan kenaikan gaji sebanyak satu tangga, Perdana Menteri turut mengumumkan 8 lagi amanat lain yang tujuannya tetap sama iaitu untuk memberikan keuntungan kepada penjawat awam. Antara amanat-amanat beliau adalah seperti berikut:

  • Time Based Service telah dipendekkan daripada 13 tahun menjadi 10 tahun untuk urusan kenaikan pangkat bagi Kumpulan Pelaksana.
  • Gred DG56 telah ditubuhkan. Hal ini adalah bertujuan untuk membolehkan pergerakan gaji serta pangkat dalam tempoh lama bagi penjawat awam yang telah memegang Gred DG54.
  • Kemudahan perubatan kepada ibu bapa pegawai lantikan kontrak dipanjangkan dan ini melibatkan seramai 42,800 pegawai.
  • Dana tahunan disumbangkan kepada CUEPACS sebanyak sekurang-kurangnya RM3 juta setahun.
  • Kemudahan cuti tanpa rekod bagi tujuan keagamaan selama 7 hari untuk menunaikan umrah buat umat Islam dan tujuan keagamaan buat penjawat awam yang bukan beragama Islam sepanjang tempoh perkhidmatan.
  • Kenaikan kadar pencen sebanyak 1% untuk semua pesara kerajaan mulai Julai tahun ini secara one-off. Untuk pengetahuan anda, faedah persaraan pada tahun ini adalah sebanyak RM24 billion.
  • Memberi geran khas sebanyak RM1 juta bagi setiap satu badan pesara kerajaan untuk digunakan bagi aktiviti-aktiviti pesara.
  • Untuk kebajikan pesara kerajaan, tambahan kuota haji diumumkan buat pesara kerajaan bergantung kepada kuota yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada kerajaan Malaysia.

Kesemua sembilan amanat yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak ini adalah untuk kesenangan dan untuk menguntungkan penjawat awam yang setia bersama kerajaan. Semoga penjawat awam akan memperoleh manfaat daripada kesemua amanat yang telah diumumkan ini.

Comments
Loading...