Apakah Kesan Jika Lambat Buat Bayaran Kad Kredit. Baca Ini

541

Setiap bulan anda melambatkan pembayaran hutang kad kredit anda dengan sengaja tanpa  sebarang alasan. Bagi anda itu bukanlah satu masalah yang besar sekiranya melewatkan pembayaran.

Tahukan anda terdapat beberapa kesan dan impak akibat melewatkan pembayaran kad kredit anda?

Kesan Melewatkan Pembayaran Kad Kredit

Anda dinasihatkan supaya mengambil tahu apakah kesan akibat melewatkan pembayaran hutang kad kredit kerana ianya lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Berikut adalah kesan akibat melewatkan pembayaran kad kredit.

  • Caj Kadar Faedah Lebih Tinggi
  • Skor Kredit Rendah
  • Caj Bayaran Lambat
  • Panggilan Dan Pelawat Yang Tidak Diingini
  • Anda Boleh Diisytiharkan Muflis

kad kredit2

Caj Kadar Faedah Lebih Tinggi

Pengeluar kad kredit boleh mengenakan kadar faedah yang paling tinggi iaitu 18% jika melewatkan pembayaran melebihi tempoh yang ditetapkan. Jadi, bayar tepat pada masanya kerana kadar faedah yang dikenakan ialah lebih rendah.

Ini merupakan sebahagian dari penstrukturan kadar faedah berperingkat yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia dan merupakan inisiatif untuk menggalakkan pembayaran baki tertunggak kad kredit tepat pada masanya. 

Kadar Faedah Kad Kredit Berperingkat Bank Negara

  • Peringkat 1 : Kadar faedah setinggi 15% setahun (bayaran minima dibuat berturut-turut selama 12 bulan)
  • Peringkat 2 : Kadar faedah setinggi 17% setahun (bayaran minima dibuat berturut-turut sekurang-kurangnya 10 bulan dalam tempoh 12 bulan)
  • Peringkat 3 : Kadar faedah 18% setahun

bnm

Skor Kredit Rendah

Skor kredit akan rendah jika anda lambat membayar hutang kad kredit anda. Ini kerana bank akan menyimpan rekod bayaran balik anda setiap bulan.

Central Credit Reference Information System (CCRIS) dari Bank Negara memaparkan rekod kewangan individu untuk tempoh 12 bulan. Bank turut mempunyai pilihan laporan kredit dari CTOS yang menyimpan rekod untuk satu tempoh masa lebih lama. Laporan kredit seperti CCRIS dan CTOS akan membantu bank dan institusi kewangan lain untuk mengesahkan status kewangan anda.

Ini akan menyebabkan rekod kewangan anda menjadi buruk kerana terdapat penangguhan atau kelewatan pembayaran. Ia akan menyusahkan anda dikemudian hari untuk membuat permohonan pinjaman yang lain seperti permohonan rumah, peribadi, kereta dan kad kredit yang baharu.

skor kredit ctos

Caj Bayaran Lambat

Bank akan mengenakan caj bayaran lambat. Caj yang dikenakan bergantung kepada bank. Kebiasaannya sekitar 1% dari baki tertunggak, atau RM10 atau mana yang lebih tinggi. Caj tersebut dikenakan sehinggalah baki tertunggak dilangsaikan sepenuhnya. 

Anda juga perlu membayar caj faedah untuk baki tertunggak kad kredit yang melebihi tarikh akhir pembayaran semula. Tanpa anda sedari, caj tersebut walaupun kelihatan kecil tetapi sekiranya terkumpul ianya akan menjadi bebanan buat anda malah semakin sukar untuk dilangsaikan.

lambat bayar

Panggilan Dan Pelawat Yang Tidak Diingini

Anda akan menerima panggilan yang anda tidak ingini. Pihak bank akan membuat panggilan kepada anda untuk meminta anda menjelaskan pembayaran.

Pihak bank juga akan menghantar pemungut hutang bukan sahaja ke rumah anda, malahan sehingga ke tempat kerja anda.

Adakah anda malu sekiranya berada di dalam situasi ini?

Jika anda malu, pastikan anda membuat bayaran tepat pada masanya walaupun dengan pembayaran yang minimum untuk mengelakkan perkara ini berlaku pada anda.

kutip hutang

Anda Boleh Diisytiharkan Muflis

Anda boleh diisytiharkan muflis dibawah Akta Bankrap 1967 apabila pihak yang memberikan hutang menunjukkan bukti hutang tertunggak sebanyak RM30,000 yang tidak dibayar dalam tempoh melebihi 6 bulan.

Anda akan hilang beberapa kelebihan selepas diisytiharkan muflis. Antaranya ialah, dihalang keluar dari Malaysia dan Ketua Pengarah Insolvensi (DGI) akan dipertanggungjawabkan untuk mengurus harta anda bagi melangsaikan hutang.

Jika anda bekerja di bawah bidang professional seperti bidang perakaunan, undang-undang dan perubatan, anda tidak boleh teruskan kerjaya anda. Akaun anda juga akan dibekukan.

muflis

Tips Bayar Kad Kredit Tepat Masa

  • Gunakan kad kredit dengan berhemah, buat pembelian ikut kemampuan.
  • Lakukan sekurangnya bayaran minimum setiap bulan.
  • Buat peringatan di komputer dan telefon bimbit anda dengan meletakkan tarikh pembayaran yang sesuai.
  • Berdisiplin dalam membuat pembayaran setiap bulan.
  • Terus membuat pembayaran selepas menerima gaji
  • Menabung untuk membuat pembayaran setiap bulan.
  • Cari dan dapatkan kad kredit yang sesuai serta memudahkan anda membuat perbelanjaan.

Diharap anda manfaatkan kegunaan kad kredit anda dengan sebaiknya. Bayar ikut tempoh yang telah ditetapkan agar ianya tidak menjadi masalah yang besar buat anda dikemudian hari.

Semoga dengan perkongsian ini memberi manfaat buat anda.

Comments
Loading...