Mengapakah Coklat Kinder Joy Diharamkan di Amerika Syarikat?

0

Kinder Joy merupakan nama produk coklat yang tidak asing lagi bagi kita. Malah, ramai kanak-kanak di negara ini sangat menggemari coklat Kinder Joy ini. Namun, tahukah anda bahawa coklat ini pernah diharamkan penjualannya di negara Amerika Syarikat?

Mengapakah Coklat Kinder Joy Diharamkan di Amerika Syarikat?

Persoalannya adalah apakah sebab di sebalik pengharaman ini. Di dalam artikel ini anda akan mendapat maklumat tentang rahsia gelap Kinder Joy sehingga coklat ini pernah diharamkan di Amerika Syarikat.

MENGAPA KINDER JOY DIHARAMKAN DI AMERIKA SYARIKAT?

Sebelum mengetahui sebab Kinder Joy diharamkan, adalah lebih baik untuk kita ketahui serba sedikit tentang coklat ini. Kinder Joy atau nama asalnya adalah ‘ Kinder Surprise’ merupakan produk makanan (coklat) yang dihasilkan oleh sebuah syarikat pengeluar makanan terkemuka di Itali.

Kinder Joy terkenal dengan trademark produknya yang membekalkan 2 bahagian iaitu coklat dan juga mainan di dalam sebuah bekas berbentuk bujur seperti telur. Mainan inilah yang sering menjadi tarikan kanak-kanak.

Penjualan produk Kinder Joy telah diharamkan di Amerika Syarikat kerana bertentangan dengan peraturan. Undang-undang di Amerika Syarikat mengatakan sesuatu objek tidak boleh diletakkan di dalam makanan kecuali jika ada fungsi yang berguna. Kinder Joy telah melanggar peraturan ini dengan cara mencampurkan makanan dan juga mainan.

Walaupun telah diharamkan di Amerika namun, Kinder Joy telah mendapat sambutan yang hangat dan dibeli oleh penduduk-penduduk negara jirannya iaitu Canada dan Mexico. Aktiviti penyeludupan produk ini juga sering berlaku namun berjaya ditumpaskan oleh pihak kastam negara tersebut.

Dari tahun 2011, pihak kastam negara tersebut telah berjaya merampas produk itu sebanyak kira-kira 60 000 dan denda yang dikenakan bagi penyeludup adalah bayaran sebanyak USD 2500 bagi satu biji coklat.

Namun, pada tahun 2017, pengharaman jualan Kinder Joy ditarik balik setelah pihak pengeluar mengasingkan mainan daripada coklat.

RISIKO PRODUK KINDER JOY KEPADA KANAK-KANAK

Walaupun produk ini telah ditarik balik pengharamannya di Amerika namun, produk ini masih mendatangkan bahaya kepada individu terutama kanak-kanak yang sangat menggemarinya.

Salah satu daripadanya adalah risiko tercekik kepada kanak-kanak. Kanak-kanak boleh tercekik mainan yang didatangkan bersama dengan coklat Kinder Joy.

FDA telah mengeluarkan suatu notis amaran pada tahun 2012 berkenaan dengan risiko tercekik  objek asing yang diletakkan di dalam makanan dan boleh menyebabkan kematian. Malah pada produk Kinder Joy itu sendiri dapat kita lihat amaran yang berbunyi begini:

“Amaran – produk ini mengandungi bahagian yang boleh menyebabkan kanak kanak tercekik dan tidak sesuai untuk kanak kanak berusia 3 tahun ke bawah”

Jelaslah kepada kita bahawa produk ini tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana membahayakan nyawa mereka. Satu kes kematian akibat tercekik mainan di dalam produk Kinder Joy telah berlaku di United Kingdom.

Seorang kanak-kanak berumur 3 tahun bernama Jennifer Ashton telah tercekik mainan Pink Panther yang diletakkan di dalam produk Kinder Joy sehingga menyebabkan kematian.

Satu lagi kes yang sama dicatatkan di Perancis apabila seorang kanak-kanak turut tercekik mainan dalam produk Kinder Joy sehingga menyebabkan kematian kerana sistem pernafasannya telah tersumbat.

Pihak pengeluar mendakwa kes kematian tersebut hanyalah suatu kemalangan biasa. Keluarga mangsa menfailkan kes ini di mahkamah dan protes terhadap produk Kinder Joy turut dijalankan. Namun, keputusan mahkamah memihak kepada syarikat pengeluar Kinder Joy dan produk ini tidak diharamkan.

Untuk pengetahuan anda, Kinder Joy bukan sahaja diharamkan di Amerika tetapi juga di negara Chile kerana undang-undang di negara itu menetapkan bahawa sesebuah syarikat pengeluar makanan dilarang sama sekali menggunakan mainan sebagai iklan dan promosi.

Pada tahun 2016, satu undang-undang Pelabelan Makanan telah dilaksanakan sehingga memaksa produk tersebut meletakkan label amaran kepada pengguna kerana produk makanan itu mengandungi gula yang tinggi, kalori yang tinggi, sodium dan juga lemak tepu.

PROMOSI DI KAUNTER BAYARAN

Jika anda perasan, produk Kinder Joy ini sering diletakkan di kaunter bayaran di seluruh pasaraya besar dengan tujuan menarik perhatian kanak-kanak.

Situasi ini turut berlaku di negara luar namun di beberapa buah negara telah berlaku suatu desakan sehingga memaksa pasaraya-pasaraya di sana menukarkan tempat letak produk Kinder Joy ini. Rak kaunter bayaran telah digantikan dengan produk makanan sihat seperti buah-buahan dan sebagainya.

Produk Kinder Joy ini bukan sahaja mahal dan membebankan ibu bapa namun turut mengancam keselamatan serta kesihatan kanak-kanak.

KESEDARAN TENTANG PEMAKANAN SIHAT

Kesedaran tentang pentingnya mengambil makanan sihat oleh masyarakat luar dilihat semakin hari semakin meningkat. Pemakanan sihat amat penting terutama sekali kepada kanak-kanak dalam membentuk perkembangan fizikal dan mental mereka.

Walaupun kita sebenarnya ada hak untuk memakan apa sahaja produk makanan kerana ianya dibeli dengan duit ringgit kita sendiri tetapi kesihatan harus diletakkan di tempat pertama.

Anda telah mendapat maklumat tentang bahayanya produk Kinder Joy ini. Kini, keputusan di tangan anda sama ada untuk tidak lagi membeli produk ini ataupun ingin terus membelinya.

Kita adalah apa yang kita makan dan kita seharusnya dilindungi daripada produk makanan yang bahaya serta tidak sihat dan mampu menjejaskan kesihatan diri.

Source sumber
Comments
Loading...