Jadual Terkini Program Imunisasi Kebangsaan Kanak-Kanak KKM. Mak Ayah Tolong Alert!

509

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak dalam kategori bayi dan kanak-kanak perlu sentiasa peka dengan pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan Kanak-Kanak yang melibatkan semua Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

Mengapa terdapatnya pertukaran jadual imunisasi ini?

Pertukaran jadual imunisasi ini dilaksanakan susulan pertukaran jenis vaksin yang digunakan iaitu vaksin kombinasi 5 serangkai seperti:

  • Difteria
  • Tetanus
  • Pertussis
  • Polio
  • Haemophilus influenzae type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib)

Ditukar kepada vaksin kombinasi 6 serangkai iaitu:

  • Difteria
  • Tetanus
  • Pertussis
  • Polio
  • Hepatitis B
  • Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib)

Pertukaran vaksin ini adalah di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak. Pertukaran pelaksanaan akan dilaksanakan secara berperingkat yang akan bermula seawal bulan November 2020 bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin ini di fasiliti kesihatan KKM.

VAKSIN 6 SERANGKAI LEBIH SELAMAT DAN BERKESAN

Menurut KKM, vaksin 6 serangkai ini lebih selamat dan 49 buah negara sudah bertukar kepada vaksin ini dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

Di Malaysia sebenarnya telah lama digunakan di fasiliti kesihatan swasta dan ianya terbukti selamat serta merupakan perkara baharu bagi KKM yang baru menggunakan vaksin ini dibawah Program Imunisasi Kebangsaan.

KKM juga akan membuat pemantauan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi setiap kanak-kanak selepas setiap dos suntikan.

Jadi ibubapa perlu melaporkan sebarang kesan advers yang dialami oleh anak mereka kepada anggota kesihatan selepas setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan, walaupun kesan yang dialami adalah ringan. Contohnya, seperti merah di tempat suntikan.

Selain itu, ibubapa juga boleh melaporkan kesan advers secara terus kepada NPRA melalui:

  • Laman web: npra.gov.my dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF).

JADUAL TERKINI IMUNISASI KEBANGSAAN KANAK-KANAK

Berikut adalah jadual terkini Imunisasi Kebangsaan Kanak-Kanak yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rujukan anda.

Mak Ayah Tolong Alert, Ini Jadual Terkini Program Imunisasi Kebangsaan Kanak-Kanak Dari KKM

NASIHAT KEPADA IBU BAPA MENGENAI PERTUKARAN JADUAL IMUNISASI KEBANGSAAN KANAK-KANAK

  • Ibubapa perlu memastikan anak-anak mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.
  • Sekiranya anak-anak tercicir sebarang imunisasi, sila bawa anak ke klinik kesihatan atau klinik swasta yang berdekatan untuk penjadualan semula imunisasi.
  • Berdasarkan jadual baru ini, walaupun tiada suntikan imunisasi diberikan kepada kanak-kanak pada umur 1 bulan dan 6 bulan seperti sebelum ini, ibubapa perlu juga mematuhi jadual kedatangan ke fasiliti kesihatan untuk kanak-kanak berumur 1 bulan dan 6 bulan untuk pemantauan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak seperti yang ditetapkan dalam Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak (0 – 6 tahun).

MAKLUMAT LANJUT & PERTANYAAN

Sekiranya ibu bapa mempunyai pertanyaan mengenai pertukaran vaksin, jadual imunisasi dan yang berkaitan, sila hubungi Kementerian Kesihatan Malaysia di saluran berikut:

  • Telefon : 03 8883 4042 / 03 8883 4501 (Isnin-Jumaat / 9 pagi – 5 petang)
Nak Info Ke Email Anda?
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Terkini Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
Comments
Loading...