Tawaran Pas Hotspot LTE 999GB Percuma Unifi Dilanjutkan Hingga 14 April

0

Susulan pengumuman lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), unifi melanjutkan semua tawaran yang diumumkan untuk membantu pelanggan kekal berada di rumah sehingga 14 April depan.

Ketua Pegawai Komersil TM, Anand Vijayan berkata, unifi kini menawarkan pelan-pelan data mudah alih lebih fleksibel, terutamanya dalam keadaan semasa di mana lebih ramai rakyat Malaysia bekerja dari rumah dan memerlukan lebih banyak pilihan hiburan.

Tawaran Pas Hotspot LTE 999GB Percuma Unifi

Menurutnya, minggu lalu, unifi mengumumkan tawaran Pas hotspot LTE 999GB percuma untuk pelan unifi mudah alih tanpa had, pas data LTE tanpa had selama tujuh hari untuk pelan mudah alih prabayar #BEBAS dan akses percuma untuk semua saluran unifi TV termasuk saluran premium.

“Unifi turut memberikan potongan 20 peratus untuk pembelian Video-on-demand, dalam usaha untuk membantu pelanggan kekal berhubung semasa mereka menjalankan tugasan, belajar dan meluangkan masa bersama orang tersayang di rumah masing-masing semasa tempoh PKP.

“Kami sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara dan rakyat, justeru kami melanjutkan kesemua langkah sokongan yang diumumkan sebelum ini sehingga 14 April 2020,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu Anand berkata, unifi turut membantu menghubungkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan kepada pelbagai pilihan penyelesaian yang membolehkannya kekal produktif sepanjang tempoh pergerakan terhad ini.

“Kami telah mengenal pasti tiga cabaran utama perniagaan sepanjang PKP iaitu mengekalkan kesalinghubungan, peluang pemasaran terhad dan pembiayaan yang fleksibel.

“Kami di unifi mahu menghubungkan pelanggan kepada penyelesaian yang membolehkan perniagaan mereka kekal tangkas, mengatasi halangan dan meneruskan peranan sebagai pembekal produk dan perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, PKS diminta memanfaatkan pas hotspot LTE 999GB percuma supaya perniagaan dan pekerja boleh bekerja dari rumah tanpa sebarang kerisauan tentang kehabisan data hotspot.

Katanya, insentif itu akan menggalakkan mereka menggunakan alatan produktiviti dalam talian pilihan seperti G Suite untuk mencipta dokumen atau Zoom untuk persidangan video untuk menyelesaikan tugasan secara lebih efektif di rumah.

Menurutnya, semua pelanggan PKS unifi akan diberikan akses percuma ke platform Penyelesaian Pemasaran Digital (Digital Marketing Solutions) bersepadu unifi.

“Platform ini memberikan pengguna akses mudah kepada alatan pemasaran digital seperti Instaweb, Google Ads, dan Facebook Ads.

“Pelanggan berpeluang menikmati diskaun sehingga 20 peratus apabila mereka melanggan peralatan ini. Mereka yang berminat boleh melayari www.yellowpages.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sebagai tambahan, Anand berkata, perniagaan yang ingin mendapatkan sokongan kewangan boleh berbincang dengan rakan usahasama unifi, SME Bank dan RHB Bank.

Katanya, di bawah arahan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kedua-dua bank boleh mengeluarkan dana sehingga RM1 juta kepada setiap syarikat dan menyediakan moratorium bagi pembayaran semula sehingga enam bulan.

Beliau berkata, pelanggan boleh melayari www.smebank.com.my (SME Bank) atau menghubungi talian 03-9206 8118 (RHB Bank) untuk memohon pilihan pembiayaan itu.

Pelanggan unifi yang memerlukan sokongan teknikal atau bantuan berkenaan akaun dinasihatkan supaya menggunakan sepenuhnya saluran khidmat pelanggan digital bagi mengehadkan keperluan interaksi secara fizikal dan seterusnya mengurangkan sebarang risiko.

Saluran-saluran itu merangkumi portal khidmat pelanggan di laman web unifi, aplikasi myunifi, dan platform media sosial di Facebook @weareunifi dan Twitter @helpmeunifi.

Pelanggan boleh menguruskan akaun, melakukan penyelesaian masalah yang mudah dan berinteraksi secara langsung dengan perunding perkhidmatan unifi yang sentiasa bersedia untuk memberikan panduan atau bantuan.

Sumber

Comments
Loading...