Fuh! Panas betul sampai baju yang baru disidai sekejap je dah kering. Cuaca panas berbahang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan berterusan sehingga pertengahan Mac 2021.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Jailan Simon, berkata negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut susulan itu, taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di Utara Semenanjung.
Malahan, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air, mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar dan minum air secukupnya.
Tinggal dalam rumah pun panas, jadi untuk sejukkan rumah, amalkan 10 tips yang dikongsikan ini.
10 TIPS ELAKKAN RUMAH BERBAHANG & SEJUK KETIKA TIDUR MALAM
Tidur malam tak lena akibat rumah yang berbahang sampai tidur pun berpeluh. Cuba amalkan 10 tips yang dikongsikan ini agar tidur malam lebih sejuk. 10 tips tersebut ialah:
1. BUKA TINGKAP
Buka semua tingkap yang ada di rumah anda untuk memastikan pengudaraan dalam rumah berjalan dengan baik. Secara tidak langsung, rumah menjadi lebih sejuk dan tidak berbahang.
2. TANAM POKOK
Anda boleh mula menanam pokok yang jenis rendang agar rumah anda menjadi lebih teduh. Pokok yang rendang dapat menyerap cuaca panas daripada terus masuk ke rumah anda.
3. TUKAR WARNA BUMBUNG
Warna bumbung juga memainkan peranan kerana terdapat warna yang sesuai untuk anda gunakan untuk memantulkan sinar UV daripada menyerap cuaca panas ke dalam rumah.
4. BESEN BERISI AIR
Ambil besen yang ada di rumah anda dan masukkan air ke dalam besen tersebut. Letakkan di ruang tamu dan bilik anda untuk tujuan menyejukkan kawasan rumah anda. Tidak hairanlah bilik air sentiasa sejuk, bukan?
5. HALA KIPAS KE TINGKAP
Pasang kipas anda dan halakan ke luar tingkap seketika. Ia dapat membuang angin yang berbahang dan udara panas ditolak keluar dari bilik atau rumah anda.
6. BELI PELEMBAB UDARA
Seterusnya, beli pelembab udara atau humidifier dan boleh digunakan untuk membantu menambah kelembapan udara dengan titisan wap airnya. Jangan risau, harganya mampu milik tau!
7. LANGSIR
Tutup tingkap pada waktu malam dan tarik tirai untuk tutup tingkap anda. Langsir dapat membantu mengurangkan cahaya yang berlebihan masuk ke rumah dan rumah menjadi lebih sejuk pada waktu malam.
8. TUKAR LAMPU
Lampu juga memainkan peranan penting kerana lampu mampu menghasilkan haba serta meyumbangkan haba yang panas di rumah anda. Jadi, tukar lampu rumah anda dengan lampu jenis fluorescent/LED. Haba kurang, elektrik pun jimat.
9. TUKAR CADAR
Pilih jenis fabrik jenis kapas kerana ianya sangat lembut dan menyerap haba serta dapat mengurangkan peluh ketika tidur. Pilih warna fabrik yang lembut dan sejuk.
10. LETAKKAN AIS
Letakkan ketulan ais di depan kipas angin kerana ia dapat menjadikan udara lebih sejuk. Cara ini sesuai dipraktikkan di rumah yang tidak mempunyai penghawa dingin atau mereka yang ingin menjimatkan bil elektrik.
Anda juga mengamalkan tips yang lain? Jika ada, kongsikan dengan orang lain agar rumah lebih sejuk dan tidak berbahang pada waktu malam.
Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.