Cara Menetapkan Matlamat Internship
Isi Kandungan
Internship atau latihan industri merupakan perkara penting dalam bidang pengajian. Ia adalah satu proses pembelajaran secara praktikal dan pastikan anda belajar sebanyak mungkin ketika mengikuti internship.
Bagaimana untuk menetapkan matlamat ketika latihan industri atau internship anda? Melalui perkongsian ini dihuraikan tujuan internship, cara menetapkan matlamat dan tujuan internship.
Apakah Matlamat Internship Anda?
Tetapkan matlamat internship anda sebelum anda hadir untuk latihan. Tentukan objektif dan matlamat anda sendiri supaya anda tahu apa yang akan anda capai sepanjang tempoh latihan anda. Melalui penetapan matlamat, anda dapat menambah kemahiran serta ilmu baru sebelum anda keluar mencari pekerjaan yang sebenar.
Cara Mewujudkan Matlamat
Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda gunakan untuk menetapkan matlamat ketika mengikuti latihan industri atau internship :
- Tentukan apa yang anda minat.
- Fikirkan matlamat keseluruhan internship.
- Tetapkan matlamat yang dapat diukur.
- Tuliskan matlamat.
1. Tentukan apa yang anda minat
Tentukan bidang yang anda minat untuk dipelajari dengan lebih lanjut. Contohnya, jika anda berminat untuk mahir dalam bidang kaunseling, anda tetapkan untuk lebih mahir dalam bidang kaunseling dan psikologi pekerja.
Ianya bersesuaian dengan jawatan yang akan anda jawat iaitu sebagai Pegawai Sumber Manusia. Apabila anda telah menetapkan matlamat, anda akan lebih berusaha untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
2. Fikirkan matlamat keseluruhan internship
Apabila anda mengikuti intership di sebuah syarikat, terus fokus dengan mengingati tujuan keseluruhan intership tersebut. Tetapkan matlamat mengikut skop tanggungjawab bidang yang anda pelajari. Adakah ianya sama seperti yang anda cuba capai dengan apa yang anda lalui ketika internship.
Kemukakan seberapa banyak soalan yang sesuai ketika anda mengikut latihan. Ini kerana semakin banyak soalan, semakin cepat anda akan belajar.
3. Tetapkan matlamat yang dapat diukur
Langkah seterusnya adalah dengan menetapkan matlamat yang boleh diukur. Ia bertujuan untuk mengukur tahap kemahiran diri sepanjang anda mengikuti latihan. Tetapkan matlamat dengan meletakkan nombor tertentu sebagai ukuran tahap pencapaian anda.
Contohnya, anda mahu mencapai 10 pembentangan sepanjang latihan industri, anda akan pastikan matlamat anda berjaya.
Pastikan anda mempunyai jadual yang dibincangkan dengan penyelia anda supaya anda mencapai matlamat anda. Jadual ini juga membantu anda menyiapkan tugasan dengan cemerlang mengikut tarikh yang ditetapkan.
4. Tuliskan matlamat
Tulis di dalam nota matlamat anda. Anda juga boleh lekatkan nota matlamat anda di papan putih atau ditempat yang boleh anda lihat selalu untuk mengingatkan anda pada matlamat anda.
Ucapkan tahniah pada setiap matlamat yang telah anda capai dan fokuskan pada matlamat yang seterusnya.
Contoh Matlamat Internship
Berikut adalah 3 contoh matlamat dan tujuan internship :
Belajar untuk membuat pengiraan peratusan logistik untuk penyata Kastam
Belajar untuk membuat peratusan logistik barang import dan eksport syarikat dan menyiapkan dokumen untuk dibawa ke bahagian Perkastaman selewat-lewatnya 15 Jun 2020.
Tujuannya adalah untuk meningkatkan pengetahuan anda tentang bagaimana pengiraan cukai import dan eksport yang dikenakan atas barangan dan mendedahkan cara untuk berurusan dengan pihak yang bertanggungjawab menguruskan bahagian tersebut.
Membuat senarai nama pekerja tempatan dan pekerja luar
Berjumpa dengan Pengurus Sumber Manusia untuk membuat senarai nama pekerja tempatan dan pekerja luar serta menyusun senarai nama mengikut tahun bekerja. Membuat penyusunan nama mengikut kemahiran dan kedudukan jawatan masing-masing. Mengemaskini fail mengikut jawatan terkini pekerja.
Melalui latihan ini, anda akan mendapat tunjuk ajar daripada orang yang berpengalaman serta mendapat nasihat tentang peranan dan tugas yang bakal anda lalui.
Mengetuai 5 kumpulan pembentangan kertas kerja.
Melalui matlamat ini, anda akan fokus untuk menjadi ketua bagi sesi pembantangan kertas kerja yang anda dan kumpulan anda lakukan. Melalui jadual yang anda telah tetapkan, anda akan berusaha untuk mencapai matlamat anda dengan berkualiti.
Ini sesuai sekiranya bidang yang dipelajari banyak menggunakan pembentangan untuk menyampaikan sesuatu maklumat kepada orang lain. Ia akan membantu anda meningkatkan keyakinan dan tingkatkan kemahiran komunikasi di hadapan audien yang ramai.
Anda boleh mendapat lebih banyak kelebihan daripada internship apabila anda menetapkan matlamat untuk diri sendiri. Buat jadual untuk membantu anda patuh pada tarikh yang ditentukan. Selepas internship, pasti anda lebih yakin untuk menghadapi dunia pekerjaan anda.
Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.