Tahukah anda bahawa sehingga Mac 2023, terdapat lebih RM11 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) yang masih disimpan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM)?
Jumlah ini cukup besar untuk menampung perbelanjaan negara bagi banyak projek penting. Lebih mengejutkan lagi, sebahagian daripada wang ini mungkin milik anda!
Apa Itu Wang Tak Dituntut (WTD)?
Isi Kandungan
Wang Tak Dituntut (WTD) merujuk kepada sejumlah wang yang sepatutnya dibayar kepada seseorang atau syarikat tetapi tidak dituntut dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Wang ini mungkin dalam bentuk gaji, dividen, tuntutan insurans, atau simpanan yang anda lupakan. Contohnya, mungkin ada gaji terakhir anda dari pekerjaan lama yang tidak pernah dituntut, atau simpanan tetap yang telah lama matang tetapi anda tidak perasan.
Contoh-Contoh WTD:
- Gaji, upahan, bonus, dan komisen yang tidak dibayar.
- Dividen yang tidak diambil.
- Tuntutan insurans yang telah diluluskan tetapi tidak dituntut.
- Draf bank dan cashier’s order yang telah luput tempoh.
- Simpanan tetap yang tidak diperbaharui secara automatik.
- Akaun bank yang tidak aktif selama tujuh tahun atau lebih.
Portal eGUMIS: Mudah dan Pantas
Untuk memudahkan anda menyemak dan menuntut WTD, JANM telah melancarkan portal eGUMIS. Dengan portal ini, anda boleh menyemak status WTD anda dengan hanya beberapa klik sahaja, tanpa perlu ke pejabat kerajaan.
Fungsi Portal eGUMIS:
- Membuat bayaran serahan WTD melalui FPX.
- Memuat naik Daftar WTD secara atas talian.
- Menyemak status serahan WTD yang dikemukakan secara atas talian.
- Memuat turun resit serahan WTD dan surat kuiri.
- Mengemaskini rekod syarikat/firma dalam sistem Pendaftar WTD.
Langkah Mudah Semakan WTD Online
Nak tahu sama ada anda mempunyai Wang Tak Dituntut? Ikuti langkah-langkah mudah berikut:
- Layari Portal eGUMIS: Kunjungi laman web eGUMIS di pautan https://egumis.anm.gov.my/.
- Pendaftaran Pengguna: Daftar sebagai pengguna baru secara atas talian. Anda akan menerima emel dengan kata laluan sementara untuk log masuk.
- Log Masuk dan Kemaskini: Log masuk ke portal eGUMIS menggunakan kata laluan sementara, kemudian tukar kepada kata laluan baru dan kemaskini maklumat pengguna.
- Buat Semakan WTD: Klik pada “KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT” dan masukkan nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran syarikat untuk membuat semakan.
- Cetak Maklumat WTD: Jika ada Wang Tak Dituntut yang ditemui, anda boleh mencetak maklumat tersebut untuk tindakan lanjut.
Nota: Buat masa ini, portal eGUMIS hanya mengandungi rekod WTD dari tahun 2006 hingga kini. Anda boleh membuat carian sebanyak dua kali sehari.
Apa yang Perlu Anda Lakukan Jika Ada WTD?
Jika anda mendapati ada Wang Tak Dituntut, langkah seterusnya adalah membuat permohonan untuk memindahkan wang tersebut ke akaun bank anda. Permohonan ini boleh dibuat oleh:
- Pemilik WTD sendiri.
- Pentadbir harta pusaka (wasi) yang dinamakan dalam Surat Kuasa Mentadbir Harta Pusaka.
- Pelikuidasi yang mewakili syarikat/firma yang sedang dalam proses penggulungan.
- Individu atau syarikat yang dinamakan dalam Perintah Mahkamah.
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia/Jabatan Insolvensi Malaysia bagi syarikat/firma yang bubar atau individu bankrap.
Selepas membuat tuntutan, wang anda akan diproses dan biasanya mengambil masa lebih kurang satu bulan untuk dikreditkan ke akaun bank yang dinyatakan dalam borang tuntutan.
Jangan Lepaskan Peluang Ini!
Mungkin anda tidak menyedari bahawa ada wang yang menanti untuk dituntut. Dengan portal eGUMIS, proses ini menjadi lebih mudah dan cepat. Jadi, jangan lepaskan peluang ini! Semak sekarang dan pastikan anda mendapat hak anda. Wang anda mungkin lebih dekat dari yang anda sangka