Info Kini Malaysia Untuk Malaysian

COVID-19: Olimpik 2020 Pula Di Tangguh

0 1,416

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan untuk menangguhkan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 akibat pandemik Covid-19, kata ahlinya, Dick Pound pada Isnin.

Australia dan Kanada menarik diri pada Isnin ketika penganjur berdepan tekanan global untuk menangguhkan temasya itu buat julung kali dalam sejarahnya selama 124 tahun.

“Berdasarkan maklumat yang IOC miliki, penangguhan sudah diputuskan,” kata Pound kepada akhbar USA Today.

Beliau memberitahu Reuters penangguhan selama setahun dilihat sebagai penyelesaian terbaik. Ini bermakna temasya yang dijadualkan berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini, mungkin diadakan pada musim panas 2021.

Olimpik 2020 Pula Di Tangguh

Jepun dan IOC berkata, membatalkan temasya itu bukan satu pilihan. Tetapi, mencari tarikh baru adalah rumit kerana kalender musim panas 2021 sudah penuh, manakala 2022 akan berlangsung Piala Dunia dan Olimpik Musim Sejuk Beijing.

Pound berkata, sebilangan besar pihak berkepentingan daripada jawatankuasa penganjur kepada atlet, stesen penyiaran dan persekutuan sukan perlu dirujuk sebelum memuktamadkan rancangan, tetapi ada petanda awal untuk mengadakan temasya itu tahun depan.

World Athletics pada Isnin berkata, mereka sedia memindahkan kejuaraan dunia 2021 yang dijadualkan pada 6 hingga 15 Ogos di Eugene, Oregon untuk memberi laluan kepada Olimpik 2021.

Penangguhan temasya Olimpik akan memberi tamparan kepada negara penganjur Jepun yang sudah melabur lebih AS$12 bilion, serta menjejaskan sejumlah besar dana untuk penaja dan badan penyiaran.

Lebih 337,000 orang dijangkiti virus Covid-19 di seluruh dunia dengan lebih 14,600 kematian dicatatkan.

IOC dan kerajaan Jepun sebelum ini mengumumkan ia akan membuat keputusan muktamad dalam tempoh sebulan, selepas berminggu mereka bertegas temasya itu akan diteruskan mengikut jadual.

Temasya Olimpik tidak pernah ditangguhkan sebelum ini, tetapi ia pernah dibatalkan pada 1916, 1940 dan 1944 ketika perang dunia ke-2, serta boikot Perang Dingin utama yang menjejaskan Olimpik Moscow dan Los Angeles pada 1980 serta 1984.

“Saat IOC membayangkan ia sedang memikirkan penyelesaian lain, ia sudah memutuskan untuk menangguhkan temasya itu,” kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Perancis, Denis Masseglia.

Kanada dan Australia sudah mengumumkan mereka tidak akan menyertai temasya itu jika ia tidak ditunda ke 2021, manakala Britain pula mungkin mengikut jejak 2 negara terbabit.

“Kita sedang berdepan krisis kesihatan global yang jauh lebih penting daripada sukan,” kata Jawatankuasa Olimpik dan Jawatankuasa Paralimpik Kanada dalam satu kenyataan.

Sejumlah negara dan badan sukan turut memberi tekanan kepada IOC untuk membuat keputusan secepat mungkin.

Walaupun sedih, atlet tetap menyokong penangguhan Olimpik Tokyo.

“Pilihan tepat dibuat, tetapi ia tidak menjadikannya lebih mudah,” kata perenang juara dunia dari Kanada, Maggie MacNeil yang berharap membuat penampilan sulung Olimpik di Tokyo.

Pihak berkuasa Jepun terpaksa tunduk kepada keputusan yang tidak dielakkan itu, walaupun ia bakal menghadapi kerugian dan masalah logistik.

“Kita tiada pilihan kecuali mempertimbangkan penangguhan,” kata Perdana Menteri Shinzo Abe di Parlimen yang berharap temasya itu akan meningkatkan industri pelancongan dan perbelanjaan pengguna.

Nak Info Ke Email Anda?
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Terkini Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
You might also like
Comments
Loading...