KEDAI gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengambil kira pandangan pakar, badan bukan kerajaan dan keluhan rakyat.
“Sejak beberapa hari lalu, isu berlegar di negara kita mengenai kedai gunting rambut. Kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat dan mendapat nasihat pakar tertentu serta mendengar pandangan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai perkara ini.
“Sehubungan itu, Perdana Menteri membuat keputusan operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara tidak dibenarkan operasi sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
“Saya kira ini menjawab segala persoalan ditimbulkan rakyat dan berharap tiada lagi isu berkenaan kedai gunting rambut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, bazar Ramadan juga tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan.
Terdahulu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, operasi kedai gunting rambut dan salon semasa PKP fasa ketiga bermula 15 April ini tertakluk kepada kelulusan permohonan dan dicadangkan di kawasan zon hijau sahaja.
Keputusan itu mendapat perhatian rakyat yang rata-ratanya tidak bersetuju dan meminta kerajaan menarik balik kebenaran premis berkenaan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP kerana dibimbangi meningkatkan lagi penularan jangkitan Covid-19.
Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.