Lagi 2 bulan kita semua akan meninggalkan tahun 2020 yang agak suram akibat dilanda pandemik Covid-19 dan bakal meniti tahun 2021. Diharap tahun 2021 ini memberikan sinar dan wabak Covid-19 berlalu pergi seterusnya rakyat Malaysia dapat menghidupkan ekonomi negara seperti dahulu.
Untuk menghadapi tahun 2021 yang akan datang, Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Parlimen untuk kesejahteraan rakyat dan negara terutamanya.
TARIKH PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021
Isi Kandungan
Belanjawan 2021 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul bin Tengku Abdul Aziz pada :
- Tarikh : 6 November 2020
- Hari : Jumaat
- Jam : 3 petang
FOKUS BELANJAWAN 2021
4 fokus utama Belanjawan 2021 ialah :
1 MEMPERKUKUH KESEJAHTERAAN RAKYAT
- Melindungi golongan mudah terjejas.
- Memperkasa dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
2 MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI
- Memacu pertumbuhan ekonomi dan pelaburan swasta.
- Menjana peluang pekerjaan.
- Menggalakkan keyakinan dan perbelanjaan pengguna dan pelabur.
3 MENGUPAYA KEHIDUPAN LESTARI
- Memberi tumpuan kepada perspektif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus.
- Memastikan kelestarian untuk pekerja, pasaran, alam sekitar dan komuniti.
4 MEMPERKASA PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
- Memberi tumpuan keberhasilan dan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
- Memudahcarakan urusan perniagaan dan meningkatkan daya saing negara.
BELANJAWAN 2021 UNTUK PULIH EKONOMI
Dijangkakan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada kali ini adalah lebih kepada pelan pemulihan ekonomi selepas menerima kesan yang agak negatif akibat wabak Covid-19.
Ia juga menjurus kepada pencapaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menaik taraf perniagaan mereka. Ia penting kerana PKS adalah lapisan perniagaan yang boleh diukur untuk menjadi juara global daripada juara tempatan.
Ia perlu mengambil kira program pembangunan masa hadapan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih mantap, lebih berlandaskan teknologi dan yang dapat mengurangkan risiko atau memberi impak kepada pendapatan sekiranya keadaan seperti ini (Covid-19) terjadi lagi.
Pada masa sama, kemampanan aktiviti ekonomi juga mengambil kira inisiatif kerajaan sebelum ini, yang telah mewujudkan (program) ekonomi digital dan Industry4ward (Industri 4.0).
TERUSKAN BANTUAN PRIHATIN NASIONAL (BPN)
Selain dari itu kebanyakan rakyat Malaysia mengharapkan agar BPN diteruskan lagi pada tahun hadapan kerana ia sangat membantu golongan yang berpendapatan rendah seperti B40 untuk meringankan beban perbelanjaan keluarga.
Hal ini kerana pandemik Covid-19 telah berada digelombang yang ketiga dan sekiranya negara Malaysia masih lagi dilanda wabak ini, diharap BPN diteruskan untuk membantu rakyat yang terkesan seperti individu kehilangan pekerjaan terutamanya.
MUDAHKAN PEMBINAAN INFRASTRUKTUR DIGITAL UNTUK RAKYAT
Oleh kerana pandemik Covid-19 menyaksikan kebergantungan yang tinggi kepada liputan jalur lebar berkualiti tinggi, pihak bertanggungjawab digesa untuk memudah cara perancangan dan pembinaan infrastrukur digital, terutama di peringkat negeri dan kerajaan tempatan bagi memastikan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi kepada rakyat.
Ekonomi juga sudah mula berubah kepada ekonomi digital. Peruntukan patut disalurkan kepada ekonomi digital dari segi kemudahan dan sebagainya bagi Belanjawan 2021 kali ini.
TUMPUAN PADA PRIHATIN DAN PENJANA
Belanjawan 2021 akan mencerminkan penumpuan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang tidak akan lari daripada hasrat kedua-dua pakej itu.
Ia juga akan difokuskan kepada aspek kesihatan. Bajet kali ini akan diperuntukkan kepada kesihatan dan menyediakan lebih banyak kemudahan dalam aspek mitigasi Covid-19.
Kerajaan juga perlu mencari satu mekanisme untuk menghidupkan kembali institusi pertanian sedia ada yang dilihat sepi ketika ini. Perkara itu penting supaya institusi terbabit dapat memainkan peranan dengan lebih menyeluruh dalam menyumbang kepada industri pertanian berasaskan makanan.
Diharap Belanjawan 2021 memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia dan tiada yang tertinggal untuk menikmati manfaat yang akan diberikan oleh pihak Kerajaan Malaysia.
Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.