Berikut panduan langkah demi langkah bagaimana untuk mohon skim Rumah Bina Negara FELCRA & RISDA bagi tahun 2018.
Untuk makluman, program ini adalah program di bawah Kementerian Kemajuan Bandar & Wilayah. Program ini juga dikenali sebagai Rumah BN.
Ianya merupakan program perumahan mampu milik golongan belia di kawasan luar bandar khususnya generasi kedua peserta di tanah-tanah rancangan agensi di bawah Kementerian ini seperti FELCRA Berhad dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Tentang Rumah Bina Negara
Isi Kandungan
Tujuan utama program Rumah BN diwujudkan adalah:
- Untuk memastikan golongan belia khususnya generasi kedua peserta dan generasi kedua di kampung-kampung tradisional yang tergolong di dalam kumpulan B40 mampu memiliki rumah pada harga yang berpatutan;
- Sebagai dorongan untuk memastikan golongan belia meneruskan agenda pembangunan luar bandar;
- Mengelakkan pengaliran tenaga kerja produktif dan kepakaran golongan belia ke bandar;
- Supaya golongan generasi kedua mewarisi usaha yang telah dimajukan oleh generasi pertama dan menjadi pemimpin masa hadapan di luar bandar;
- Mengurangkan kadar kemiskinan dan masalah sosial di bandar kesan daripada penghijrahan belia yang berpendapatan rendah dari luar bandar ke bandar;
- Meningkatkan kualiti hidup kumpulan B40 di kawasan luar bandar; dan
- Memacu kepesatan pembangunan kawasan luar bandar.
Bagi yang tak tahu apa itu B40, ianya adalah kumpulan isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860.
Kelebihan Rumah BN
Rumah BN sedikit berbeza jika dibandingkan projek perumahan rakyat lain seperti PR1MA, PPA1M, PPR dan sebagainya. Ini kerana Rumah BN memfokuskan golongan belia di luar bandar sahaja.
Kerajaan juga menyediakan subsidi kepada golongan tersebut bagi mendapat akses kepada perumahan pada kadar harga yang mampu dimiliki (sekitar RM45,000 sahaja).
Subsidi ini juga disalurkan dalam dua bentuk iaitu subsidi di dalam penyediaan infrastruktur perumahan atau subsidi pembinaan rumah di atas tanah milik individu.
Kaedah perlaksanaan Rumah Bina Negara terbahagi kepada dua:
- pembinaan rumah jenis sesebuah pada harga subsidi di atas tanah milik individu
- pembinaan rumah secara berkelompok di kawasan yang terpilih di mana kos penyediaan infrastruktur di kawasan perumahan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan
Bagi perumahan berkelompok, antara infrastuktur yang akan dibina antaranya:
- Penyediaan jalan dalam kawasan perumahan.
- Pembinaan Sistem Bekalan Air dan Elektrik.
- Pembinaan Sistem Perparitan dan Saliran.
- Pembinaan Menara Tangki Air.
- Pembinaan Sistem Kumbahan Berpusat (STP).
FELCRA Berhad melaksanakan Rumah BN secara berkelompok di atas tanah Kerajaan di dalam kawasan yang telah diperuntukkan kepada FELCRA Berhad dan kos penyediaan tapak perumahan serta infrastruktur dibiayai oleh pihak
Kerajaan Persekutuan. Rumah dijual kepada Generasi Kedua FELCRA Berhad pada harga yang berpatutan.
RISDA membina Rumah BN jenis sesebuah di atas tanah individu milik peserta dan pembinaan rumah diberi insentif oleh pihak Kerajaan Persekutuan.
Spesifikasi & Harga
Rekabentuk Rumah Bina Negara terdapat dalam jenis rumah sesebuah, berkembar atau teres setingkat. Keluasan minimum rumah adalah seluas 700 kaki persegi. Pembahagian ruang di dalam rumah terdiri daripada 3 bilik tidur, 2 bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur.
Harga yang ditawarkan bagi pembinaan Rumah BN RISDA adalah RM45,000 di mana harga asal adalah sebanyak RM65,000 dan diberi subsidi oleh Kerajaan sebanyak RM20,000. Harga bagi Rumah BN FELCRA Berhad akan diumumkan nanti.
Syarat Kelayakan
Berikut antara syarat kelayakan bagi memohon Rumah Bina Negara 2018:
- Warganegara Malaysia berumur 18 – 45 tahun.
- Berkeluarga (telah berkahwin atau ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan).
- Belum memiliki rumah sendiri atau memiliki rumah yang usang / daif.
- Berpendapatan tetap atau tidak tetap (golongan B40) dengan berkelayakan untuk membuat pinjaman daripada institusi perbankan (perlu disokong dengan dokumen-dokumen berkaitan).
- Pemohon bermastautin di kawasan yang dimohon.
- Pemohon untuk Rumah BN FELCRA Berhad mestilah merupakan anak peserta (generasi kedua) dari kalangan peserta yang ibu bapanya adalah peserta di penempatan FELCRA Berhad berkenaan serta berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM4,000 sebulan.
- Pemohon untuk Rumah BN RISDA, pemohon mestilah merupakan generasi kedua pekebun kecil RISDA yang memiliki tanah bersesuaian, tiada sekatan untuk tujuan pembinaan dan bebas daripada sebarang cagaran, sekatan atau telah dikaveatkan untuk tujuan lain. Pemilik tanah tersebut juga perlu bersetuju untuk mengkaveatkan tanah tersebut.
Cara Memohon Rumah Bina Negara
Sebelum membuat permohonan Rumah Bina Negara FELCRA, pastikan anda download borang permohonan di sini.
- Pemohon perlu memperlengkapkan borang permohonan pembelian rumah yang akan diedarkan kepada Generasi Kedua di kawasan lokasi cadangan untuk dibina rumah BN.
- Pemohon akan dijemput untuk menghadiri temuduga untuk mengenal pasti calon-calon pembeli yang berpotensi dan memenuhi kelayakan asas.
- Pemohon akan disenarai pendek, dan akan menghadiri sesi khas bersama institusi perbankan (sekiranya berminat memperolehi pembiayaan dari institusi bank).
- Pihak bank akan mengemukakan kepada Jawatankuasa Pembangunan Perumahan Bina Negara peringkat Wilayah FELCRA Berhad senarai calon yang berpontensi untuk dipertimbangkan pembiayaan dengan pihak bank.
- Jawatankuasa Perumahan akan memilih senarai calon yang berpotensi berdasarkan kuota seorang wakil Generasi Kedua bagi setiap keluarga peserta sahaja.
- Calon pembeli berpotensi yang telah disenarai pendek boleh juga memilih untuk membiayai pembelian rumah secara ‘tunai’ atau ‘Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)’
Bagi Rumah Bina Negara RISDA pula, Generasi Kedua Pekebun Kecil boleh memohon dengan menggunakan borang permohonan Rumah BN 1 yang boleh didapati di semua Pejabat RISDA Negeri dan Pejabat RISDA Daerah/Jajahan/Bahagian seluruh Malaysia secara percuma. Permohonan boleh dilakukan sepanjang tahun sehingga tahun 2020.
Tempoh pembinaan Rumah BN Generasi Kedua FELCRA Berhad secara berkelompok adalah di antara 24 – 36 bulan. Tempoh masa ini mengambil kira kelulusan Kebenaran Merancang, kerja tanah dan kerja pembinaan infrastruktur.
Bagi pembinaan Rumah BN Generasi Kedua Pekebun Kecil RISDA, tempoh pembinaan rumah sesebuah adalah di antara 3 – 6 bulan.
Untuk maklumat lanjut, layari porta rasmi Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah di http://www.rurallink.gov.my/