Info Kini Malaysia Untuk Malaysian

7 Sunnah Puasa Gaya Rasulullah S.A.W, Sebaik Berpuasa Adalah Mengikut Sunnah Baginda

1,879

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh barakah. Bulan ini bukan sekadar melakukan ibadah puasa sahaja, malahan berebutlah melakukan amalan-amalan sunnah mengikut gaya Rasulullah S.A.W.

Sesungguhnya amalan sunnah Rasulullah S.A.W jika diamalkan dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

Mari kita cuba ikuti 7 sunnah puasa gaya Rasulullah S.A.W di sepanjang bulan Ramadan kali ini.

7 Sunnah Puasa Gaya Rasulullah S.A.W

1. Bersahur

Bersahur bukan saja membantu kita mengisi tenaga untuk persediaan berpuasa, tetapi ia juga adalah suatu amalan yang amat dituntut dalam Islam. Sabda Rasulullah S.A.W,

“Bersahurlah kalian, karena pada sahur itu ada keberkatan.”

(HR. Bukhari)

Sahur Rasulullah S.A.W adalah pada waktu pagi dan hampir dengan subuh. Malahan, sahur juga membezakan puasa orang Islam dengan agama lain.

Selain daripada itu, sebelum sahur anda boleh melakukan solat sunat tahajud. Manakala selepas sahur elok kiranya anda tidak terus tidur dan mengisi masa dengan membaca Al-Quran, berzikir dan solat sunat.

sahur3

2. Segerakan Waktu Berbuka Puasa

Rasulullah S.A.W sendiri menyarankan agar menyegerakan berbuka puasa dan melarang melambatkan berbuka puasa.

Ini kerana ia adalah satu kebaikan sekiranya menyegerakan berbuka puasa.

Seperti sabda Rasulullah S.A.W melalui sebuah hadis,

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.”

(HR Bukhari dan Muslim)

Ini kerana melewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian.

Rasulullah S.A.W telah bersabda di dalam satu hadithnya yang dilaporkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h yang bermaksud:

“Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya”

segerkan berbuka

3. Makan Kurma Ketika Berbuka

Rasulullah S.A.W menganjurkan untuk berbuka puasa dengan memakan beberapa biji kurma basah.

Ini kerana jika berada dalam keadaan yang tidak terlalu kenyang, ibadah solat dapat dilakukan dengan mudah.

Seperti riwayat daripada  Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi yang bermaksud,

Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.

Rasulullah S.A.W akan makan selepas melakukan solat sekiranya lapar. Tidak seperti kita yang akan berbuka dengan pelbagai juadah sehingga kekenyangan. Malahan ianya menganggu fokus untuk beribadah seperti solat teraweh kerana mengantuk, terlampau kenyang, sakit perut dan sebagainya.

kurma dan air kosong

4. Tidur Qailulah

Tidur Qailulah adalah tidur sebentar sebelum solat zohor. Melalui amalan ini, anda akan sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda,

Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam.

Tidur sepanjang hari selepas sahur sehingga petang adalah tidak baik untuk kesihatan tubuh badan malahan boleh menyebabkan keletihan yang melampau. Sebaiknya penuhi waktu siang di bulan Ramadan dengan amalan yang bermanfaat dan memberikan pahala buat kita.

qailulah

5. Menjaga Tutur Kata

Sepanjang puasa ini, jagalah lisan kita iaitu lidah. Jaga tutur kata sepanjang puasa ini kerana ianya sia-sia sekiranya berpuasa tetapi mulut masih mengumpat, mengadu domba, bernyanyi dan perkara lagha yang lain. Perbuatan ini adalah perbuatan yang haram sepanjang masa.

Lebih baik basahi lidah dengan berzikir, membaca Al Quran serta menyebut perkara yang baik-baik.

Rasulullah S.A.W bersabda dalam sepotong hadis yang bermaksud,

Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)

(Riwayat Ahmad dan al-Tabarani)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata “Saya berpuasa”.

( Imam al-Bukhari )

jaga lisan

6. Memberi Makan Orang Yang Berpuasa

Infaqkan sedikit harta kita dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa kerana ganjarannya adalah terlalu besar.

Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W,

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya

(Tirmidzi dan Ibn Maja)

Adalah sunnah untuk mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa.

bagi makan

7. Doa Ketika Berbuka Puasa

Antara waktu yang mustajab adalah ketika berbuka puasa. Jika anda mempunyai sebarang hajat atau keinginan, berdoalah sementara menunggu waktu berbuka dan ketika berbuka puasa.

Sabda Rasulullah S.A.W,

Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi.

(Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban)

Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadis ini sebagai hasan.

Doa tersebut adalah:

ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى

Bermaksud: Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.

doa mustajab

Mulai hari ini, marilah kita menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W dalam berpuasa. Amalan yang baik ini memberi beribu manfaat buat kita semua.

Semoga segala amalan ini meningkatkan lagi ketaqwaan kita dalam melakukan ibadah. Perbanyakkanlah membaca Al Quran, zikir dan melakukan solat-solat sunat.

Nak Info Ke Email Anda?
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Terkini Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
You might also like
Comments
Loading...