Berapakah simpanan wang anda sekarang? Sudah mencecah ribuan ringgit atau langsung tiada? Adakah semuanya sudah habis akibat boros berbelanja?
Lihat rakan-rakan anda, bukan sekadar mempunyai wang simpanan yang banyak, malah sudah berjaya mencapai impian mereka.
Terfikir juga bagaimana untuk membuat simpanan yang mencukupi untuk menghadapi hari tua dan sebolehnya dilakukan sebelum menjelangnya umur 30 tahun.
Dan mengapa pula umur 30 tahun?
Mari kita lihat huraiannya.
Mengapa 30 tahun?
Isi Kandungan
Kebiasannya pada umur begini dikatakan umur yang boleh membuat tindakan atau keputusan yang lebih rasional dan matang sama ada untuk kerjaya, pelaburan, perhubungan dan kehidupan.
Menetapkan matlamat kewangan pada usia ini akan membantu anda untuk memilih tindakan yang diperlukan untuk memastikan matlamat tersebut dicapai pada usia 30 tahun.
Ia agak sukar untuk menentukan jumlah yang tepat untuk simpanan yang diperlukan kerana setiap individu memiliki gaji dan pengalaman berkerja yang berbeza.
Jadi, formula berikut digunakan untuk mengira jumlah simpanan yang perlu dibuat setiap bulan untuk membentuk kewangan yang kukuh menjelang umur 30 tahun.
Formula Pengiraan Simpanan
Formula Simpanan: [23% (Persaraan) + 10% (Kecemasan) + 10% (Tujuan Khas)] x Pendapatan Bulanan Kasar (Sebelum Pemotongan KWSP)
Contoh : Zamri, seorang guru berusia 24 tahun, dengan pendapatan kasar RM3500 sebulan. Berdasarkan pengiraan formula di atas, Amin perlu membuat simpanan sebanyak RM1505 sebulan untuk memastikan kewangannya kukuh. Dengan baki pendapatan sebanyak RM1,995 sebulan, Amin masih boleh memiliki kereta dengan bayaran pinjaman RM500 sebulan dan menjalani kehidupan seharian dengan secukupnya.
Nota : Formula dan cadangan diatas hanya untuk tujuan maklumat dan sumber rujukan sahaja.
Mari kita lihat komponen formula simpanan ini dan mengapa peratus tersebut digunakan untuk setiap komponen.
Simpanan Persaraan
Jadual Simpanan Asas
Sumber : KWSP
- Jika dilihat jadual di atas, pada usia anda 30 tahun,anda perlu mempunyai simpanan sekurangnya RM35,000.
- Jumlah tersebut adalah jumlah minima yang perlu disimpan untuk manampung hidup anda selepas bersara sehingga umur 75 tahun.
- Lebih baik sekiranya membuat simpanan lebih tinggi dengan mengambil kira faktor inflasi dan kehidupan yang lebih senang selepas bersara.
- Simpanan yang terbaik adalah memiliki 33% daripada pendapatan bulanan.
- Anda yang mencarum KWSP sangat untung kerana 7% dicarum dari pendapatan bulanan manakala 13% sumbangan dari majikan untuk akaun KWSP. Jadi, anda hanya perlu memperuntukkan lebih kurang 9%-10% lagi dari pendapatan anda untuk mengikuti cadangan tersebut. Untuk memastikan 10% simpanan tersebut berkembang, anda boleh laburkannya di 56 Skim Persaraan Swasta (PRS) di Malaysia yang ditawarkan oleh 8 bank dan institusi kewangan berlesen, bergantung kepada perancangan anda.
Simpanan Kecemasan
- Utamakan simpanan kecemasan anda kerana tidak tahu apa yang akan berlaku dikemudian hari dan mungkin ianya menelan kos yang tinggi. hal kecemasan yang mungkin berlaku adalah seperti masalah kesihatan, kerosakan kenderaan, diberhentikan kerja ataupun bahagian rumah anda rosak dan perlu diperbaiki.
- Pastikan simpanan kecemasan anda bersamaan gaji anda selama 6 bulan atau lebih. Sekurangya dengan simpanan kecemasan ini dapat membantu anda untuk menanggung perbelanjaan sekiranya anda hilang punca pendapatan.
- Peruntukkan 10% daripada gaji anda ke akaun simpanan yang fleksibel seperti ASB, Tabung Haji atau akaun bank yang lain.
- Contoh : Jika gaji anda RM3,500, 10% yang anda peruntukkan itu boleh disimpan menjadi RM3,500 dalam tempoh 10 bulan. Jika disimpan berterusan selama 5 tahun pula, anda sudah mempunyai simpanan sebanyak RM21,000 dan cukup untuk menampung perbelanjaan kecemasan anda selama 6 bulan.
Simpanan Tujuan Khas
- Sediakan satu simpanan atau tabung tujuan khas.
- Simpanan ini khusus untuk matlamat jangka pendek dan sederhana seperti melancong, membeli kereta, deposit rumah ataupun untuk berkahwin.
- Memandangkan simpanan lain telah diperuntukkan, anda boleh meletakkan 10% dari gaji untuk tujuan ini.
- Jika anda ingin menggunakan kelebihan faedah atau dividen pada masa akan datang, laburkan simpanan in ke unit amanah ataupun deposit tetap.
Mula Dari Sekarang
- Mulakan dari sekarang dan anda tidak lewat untuk memulakan simpanan atau tabungan untuk diri anda sendiri.
- Buat kerja sambilan untuk menambah pendapatan dan sekaligus menambahkan jumlah simpanan anda.
- Pastikan anda membayar dan melangsaikan hutang yang sedia ada.
- Berbelanja dengan berhemah serta tidak boros dan tidak membuat hutang yang tidak diperlukan.
Tips ini juga boleh diguna pakai untuk anda yang sudah melebihi umur 30 tahun. Asalkan anda bersemangat tinggi untuk membuat simpanan untuk kemudian hari, itu adalah yang terbaik buat masa depan anda.
Semoga anda mendapat manfaat daripada perkongsian ini.
Selamat menabung.
Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.