Rawatan Perubatan Yang Membatalkan Puasa Dan Tak Membatalkan Puasa – KKM

Menjadi kebimbangan bagi pesakit yang memerlukan rawatan perubatan ketika bulan puasa kerana dikhuatiri puasa terbatal ketika mendapatkan rawatan.

Pentingnya untuk anda mengetahui tidak semua rawatan perubatan yang diberikan membatalkan puasa anda.

Mari kita lihat perkongsian ini mengenai rawatan perubatan yang tidak membatalkan puasa dan membatalkan puasa sekiranya anda mengambil rawatan tersebut.

dirawat

Senarai Rawatan Perubatan Tidak Dan Membatalkan Puasa

Berikut adalah senarai rawatan perubatan yang tidak membatalkan puasa dan membatalkan puasa untuk panduan anda

Rawatan Perubatan Yang Tidak Membatalkan Puasa

  • Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga).
  • Tablet sublingual (bawah lidah) dengan syarat diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan.
  • Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.
  • Semua jenis suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah.
  • Pendermaan, pemindahan darah atau pengambilan sampel darah untuk ujian makmal.
  • Ubat jenis sapuan (krim atau salap), balutan dan plaster pada permukaan kulit.
  • Memasukkan tiub kateter melalui salur darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung.
  • Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit.
  • Ubat kumur secara gargle (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat terapeutik semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan.
  • Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan daripada anggota badan.
  • Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut.
  • Rawatan bius setempat atau separuh.
  • Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.

Rawatan Perubatan Yang Membatalkan Puasa

  • Pengambilan ubat jenis biji dan ubat minum.
  • Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (asma) atau penyakit paru-paru kronik.
  • Memasukkan sebarang tiub kecil (pesari) atau ubat ke dalam faraj termasuk prosedur cucian dan pemeriksaan dalaman vagina wanita.
  • Memasukkan sebarang tiub kateter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing, barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita.
  • Penggunaan alat seperti enema, tiub supositori, teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rektum untuk pemeriksaan.
  • Penggunaan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman.
  • Penggunaan bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas.

ubat batal n tidak batal puasa

Mengapa Inhaler Dikategorikan Sebagai Membatalkan Puasa?

Inhaler terbahagi kepada dua jenis iaitu pencegah dan pelega. Pada bulan puasa, bagi pengguna inhaler pencegah, anda dinasihatkan untuk menukar waktu dengan mengambilnya  ketika  waktu bersahur dan waktu berbuka puasa sepertimana dicadangkan oleh doktor. Jika digunakan dengan konsisten, ia dapat mengelakkan serangan asma ketika berpuasa. Ini dapat mengurangkan keperluan pesakit menggunakan inhaler jenis pelega, yang digunakan apabila pesakit terkena serangan asma secara tiba-tiba.

  • Batal Puasa : Kerana  bahan-bahan dalam inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut.
  • Tidak Batal Puasa : Kerana satu semburan inhaler hanya mempunyai isipadu beberapa titisan air dan diibaratkan seperti keadaan berkumur-kumur yang tidak membatalkan puasa. Ia juga dilihat sebagai keperluan rawatan yang mendesak.

Sekiranya anda yakin tidak batal, teruskan berpuasa. Jika sebaliknya, anda perlu menggantikan semula puasa anda pada bulan kemudiannya.

inhaler

Cara Pengambilan Ubat Semasa Berpuasa

Puasa bukan penghalang untuk anda terus mendapatkan rawatan. Anda perlu menyesuaikan dengan pengubahsuaian cara pengambilan ubat-ubatan seperti dos dan waktu pengambilan ubat. Kesihatan diri anda sangat penting dan sekiranya ia memudaratkan, berbukalah.

Pastikan pengubahsuaian dos dan waktu mengambil ubatan anda mengikut saranan dan cadangan doktor. Malah, jangan sesekali berhenti mengambil ubat atau rawatan perubatan sepanjang bulan puasa. Ia membahayakan kesihatan anda kerana boleh menyebabkan kompilasi penyakit terutamanya jika anda adalah pesakit penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan asma.

ubat

Panduan Ambil Ubat Bulan Puasa

Berikut adalah panduan untuk anda mengambil ubat-ubatan di sepanjang bulan puasa ini.

panduan ambil ubat

Bagi pesakit diabetes yang mengambil suntikan insulin, dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan sebelum bulan puasa. Ini dapat mengelakkan paras gula dalam darah daripada menjadi terlalu rendah (hipoglisemia) atau terlalu tinggi (hiperglisemia).

Tanda- Tanda Hipoglisemia Dan Hiperglisemia

Hipoglisemia (Paras Gula Yang Rendah Dalam Darah) Hiperglisemia (Paras Gula Yang Tinggi Dalam Darah)
  • Mengantuk/ Terlalu lemah
  • Sangat dahaga
  • Amat lapar
  • Kerap membuang air kecil
  • Menggigil/ Menggeletar
  • Sangat letih
  • Peluh dingin
  • Sakit perut
  • Keliru/ Gangguan emosi/ Resah/ Gelisah
  • Cepat marah
  • Pening / Mudah pitam
  • Meloya

hypo n hyperJika anda mempunyai tanda-tanda seperti di atas, segera berbuka puasa atau berjumpa doktor sekiranya keadaan semakin teruk.

Tip Untuk Pesakit

Dikongsikan juga disini tips untuk pesakit yang boleh diamalkan sepanjang bulan puasa ini.

  • Lambatkan waktu bersahur. Makan dengan secukupnya, kerana jika makan terlalu awal atau sedikit boleh mengakibatkan masalah hipoglisemia.
  • Percepatkan berbuka puasa. Berbuka dengan air dan makan 1-2 biji kurma untuk mendapatkan tenaga dengan segera.
  • Digalakkan mengambil hidangan utama selepas solat maghrib. Jangan makan berlebihan ketika berbuka.
  • Pilih makanan yang kurang kandungan gula, lemak dan garam.
  • Mematuhi jadual pengambilan ubat-ubatan dan waktu suntikan insulin yang disyorkan doktor.
  • Mengenali tanda-tanda hiperglisemia, hipoglisemia dan dehidrasi (kekurangan cairan badan).
  • Segera berbuka jika terdapat tanda-tanda yang boleh memudaratkan.
  • Keputusan pesakit untuk berpuasa harus dibincangkan dengan doktor. Pengawasan, pendidikan, penjagaan diri serta pengubahsuaian jadual pemakanan dan ubat-ubatan dapat membantu pesakit mengawal penyakit semasa berpuasa. Jika panduan dan syarat dapat dipatuhi, ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan selamat dan ianya tidak menjadi halangan besar bagi pesakit untuk berpuasa.

sahur

Maklumat ini hanyalah sebagai panduan umum. Mungkin terdapat perbezaan pendapat dalam hal berkaitan pengambilan ubat-ubatan serta status batal dan tidak batal puasa dalam penerangan yang diberikan. Perbezaan yang wujud mungkin disebabkan kaedah qias dan penentuan hukum yang berbeza antara mazhab atau pendapat. Sehubungan itu, informasi yang diberikan ini adalah berdasarkan pandangan hukum daripada mazhab Syafie dan panduan berpuasa bagi pesakit JAKIM 2013.

Semoga dengan perkongsian in dapat membantu anda meneruskan mengambil rawatan perubatan demi kesihatan anda.

Sumber :

  • Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (2015). [Slide] Puasa dan Ubat.
  • Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Panduan Berpuasa bagi Pesakit. Cetakan kedua. 2013.
  • Know Your Medicine. Puasa & Ubat [Pamphlet].
  • Know Your Medicine. Ubat-ubatan dan Bulan Ramadhan.
  • Mina F. (1998). Medical implications of controlled fasting. Journal Of The Royal Society Of Medicine 1998;91:260-263.
  • NHS Choices. Ramadan health FAQs Retrieved from:
  • Pharmacy Unit, Hospital Bahagia Ulu Kinta. Pharmacy Bulletin, vol. 2, 2014.
  • Rohanah Pagi (2010). “Bolehkah Pesakit Diabetis Berpuasa di bulan Ramadan??,” Association of Diabetes Educators of Singapore. July-September, 2010.
  • Website: Article from Assoc Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin, Malaysia, for Novo Nordisk Pharma (M) Sdn Berhad “Pengurusan Diabetes Ketika Berpuasa,” pp. 1–2.
You might also like

Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.