Senarai IPTA Di Seluruh Malaysia Untuk Permohonan UPU Online

Bagi pelajar lepasan SPM atau STPM yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, berikut kami kongsikan senarai IPTA di seluruh Malaysia.

Senarai ini anda boleh gunakan ketika mengisi permohonan UPU 2018 secara online yang akan dibuka 5 Februari nanti.

IPTA kini dikenali sebagai Universiti Awam (UM) terbahagi kepada 3 kategori:

  1. Universiti Penyelidikan
  2. Universiti Berfokus (kejuruteraan, pendidikan, ketenteraan & pengurusan)
  3. Universiti Komprehensif

Di bawah adalah penerangan ringkas setiap universiti awam di Malaysia.

Senarai IPTA Di Seluruh Malaysia

1. Universiti Malaya (UM)

Universiti Malaya yang ditubuhkan pada 8 Oktober 1949 hasil gabungan di antara King Edward VII College of Medicine (1905) dan Raffles College (1928) memainkan peranan dalam melahirkan modal insan yang mahir dan terlatih di Malaysia.

Universiti Malaya merupakan peneraju dalam bidang penyelidikan. Dengan bertambahnya dana penyelidikan dan perundingan serta peningkatan bilangan pelajar pascasiswazah, Universiti Malaya telah menubuhkan Institut Pengurusan Penyelidikan dan Perundingan (IPPP) pada tahun 2000 (dinamakan Institut Pengurusan & Pemantauan Penyelidikan pada tahun 2009) untuk menguruskan segala aktiviti penyelidikan dan perundingan bagi mempromosikan hasil penyelidikan dengan lebih berkesan.

Kategori: Universiti Penyelidikan
Laman web rasmi: http://www.um.edu.my

2. Universiti Sains Malaysia (USM)

Universiti Sains Malaysia merupakan  universiti kedua tertua di negara ini.  Sebelum Akta Universiti dikuatkuasakan pada 4 Oktober 1971, Universiti Sains Malaysia dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang.

Pada awalnya,  Universiti Sains Malaysia (USM) bermula dengan pengambilan seramai 57 orang pelajar sains sahaja.  Sejak itu, USM  membangun dengan pesatnya dan kini  USM mampu menawarkan pelbagai kursus pada  peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi kepada lebih 20,000 orang pelajar.  Kini, USM terkenal sebagai antara universiti tersohor di dalam mahupun di luar negara.

Kategori: Universiti Penyelidikan
Laman web rasmi: http://www.usm.my

3. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah Universiti ketiga ditubuhkan di Malaysia selepas Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Pada awal penubuhannya UKM mempunyai Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Fakulti Sastera (diubah kepada Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan pada 1974).

UKM lahir dari hasrat dan aspirasi orang-orang Melayu yang telah wujud semenjak tahun 1930-an menyarankan agar sebuah Universiti yang bertaraf kebangsaan dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya ditubuhkan. Hasrat ini tercapai apabila timbulnya keperluan untuk menampung pelajar-pelajar lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi selepas negara mencapai kemerdekaan.

Kategori: Universiti Penyelidikan
Laman web rasmi: http://www.ukm.my

4. Universiti Putra Malaysia (UPM)

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) pada awalnya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia melalui penggabungan  antara Fakulti Pertanian, Universiti Malaya dan Kolej Pertanian Malaya Serdang.  Universiti ini bermula dengan tiga buah fakulti; Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan dan Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Peternakan.

Pada tahun 1994, UPM telah memulakan satu rancangan untuk membina universiti masa hadapan yang menyediakan sistem pendidikan yang lebih baik dan terkini terutama dalam pendidikan sains dan teknologi.  Selaras dengan itu, UPM telah berkembang pesat hingga menjadi kampus tanpa sempadan dan melangkaui sempadan kebangsaan.

Kategori: Universiti Penyelidikan
Laman web rasmi: http://www.upm.edu.my/

5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ditubuhkan pada 14 Mac 1972 dengan nama Institut Teknologi Kebangsaan yang kemudiannya ditukar kepada Universiti Teknologi Malaysia pada 1 April 1975. Kini UTM mempunyai 2 kampus iaitu Kampus Johor  Bahru yang merupakan kampus induk dan kampus cawangan di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur.

Semenjak konvokesyen yang pertama pada tahun 1972 hingga kini, UTM telah menghasilkan lebih 187,858 orang graduan terutamanya dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi. Ini menjadikan UTM sebagai penyumbang utama tenaga kerja profesional dan separuh profesional kepada negara  hingga kini.

Kategori: Universiti Penyelidikan
Laman web rasmi: http://www.utm.my/

6. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

International Islamic University Malaysia (IIUM) atau lebih dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) komited terhadap pendekatan yang menyeluruh dan komprehensif dalam menawarkan program-program pendidikan tinggi dan menganggap menimba ilmu itu sebagai satu ibadah. Dengan menggabungkan sumber ilmu wahyu ke dalam kurikulum, UIAM dapat menyumbang kepada tradisi keintelektualan dan juga peningkatan jatidiri di dalam masyarakat.

UIAM menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di dalam program pengajian serta di dalam operasi hariannya manakala Bahasa Arab pula digunakan di dalam program Sains Kemanusiaan (Kesusasteraan Bahasa Arab) dan Undang-Undang (Shari’ah). Penggunaan dua bahasa ini menggambarkan salah satu daripada misi universiti iaitu pengantarabangsaan.

Kategori: Universiti Komprehensif
Laman web rasmi: http://www.iiu.edu.my/

7. Universiti Utara Malaysia (UUM)

Universiti Utara Malaysia (UUM) ialah universiti keenam negara yang secara rasminya ditubuhkan pada 16 Februari 1984. UUM juga satu-satunya universiti yang ditetapkan supaya mengkhusus kepada bidang pengurusan sejak awal penubuhannya.

Pada masa kini , UUM mempunyai seramai 30,670 orang pelajar pada peringkat pengajian Ijazah Pertama dan Ijazah Lanjutan. Jumlah tersebut merangkumi 22,932 pelajar penuh masa peringkat Ijazah Pertama, 896 pelajar Program Kerjasama, 2,245 pelajar secara Pengajian Luar Kampus dan 4,597 pelajar Ijazah Lanjutan. Jumlah tersebut juga termasuk pelajar antarabangsa seramai 2,279 orang dari 42 buah negara. UUM mempunyai seramai 1,225 orang staf akademik dan 1,457 orang staf pentadbiran dan sokongan yang sedang berkhidmat di Universiti ini.

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.uum.edu.my/

8. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

UNIMAS merupakan universiti awam kelapan dan yang pertama ditubuhkan sesudah Wawasan 2020 diilhamkan. Bermula dengan kira-kira 30 staf akademik, UNIMAS membuka pintunya kepada kumpulan pertama 118 pelajar pada 8 Ogos 1993. Para pelajar telah didaftarkan di dalam dua fakulti perintis, Fakulti Sains Sosial dan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber. Dua pusat sokongan akademik telah juga ditubuhkan: Pusat Pembelajaran Gunaan dan Multimedia, dan Pusat Khidmat Maklumat Akademik.

Kategori: Universiti Komprehensif
Laman web rasmi: http://www.unimas.my/

9. Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Universiti Malaysia Sabah (UMS) ialah universiti awam yang  ke-9 ditubuhkan pada tahun 1994. Ia mula mengambil pelajar pada tahun 1995 dimana bilangan kumpulan pelajar pertamanya ialah seramai 205 orang. UMS kini mempunyai dua kampus iaitu Kampus Induk di Teluk Sepanggar dan juga Kampus Cawangan di Wilayah Persekutuan Labuan dan sebuah Sekolah Pertanian Lestari di Sandakan, Sabah.

UMS telah melakukan transformasi akademik dengan menyaksikan penstrukturan 13 buah sekolah yang sedia ada kepada 10 buah fakulti berkuatkuasa  1 Jun 2014. Transformasi ini adalah bagi mendepani cabaran-cabaran semasa dan akan datang, antaranya globalisasi pendidikan tinggi, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan isu kebolehpasaran graduan.

Kategori: Universiti Komprehensif
Laman web rasmi: http://www.ums.edu.my/

10. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan pada 1 Mei 1997 berkuat kuasa melalui Warta Kerajaan, P.U.(A) 132 & 133, bertarikh 24 Februari 1997, yang mengandungi dua buah Perintah iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997.

Universiti Pendidikan Sultan Idris mempunyai dua (2) kampus  iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) di Tanjong Malim dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di Proton City. Lokasi UPSI sangat strategik yang mana ia menghubungkan antara dua (2) negeri iaitu Negeri Perak Darul Ridzuan dan juga Negeri Selangor Darul Ehsan.

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.upsi.edu.my/

11. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan Universiti Islam Malaysia yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia dan merupakan Universiti Awam (UA) yang ke-12.

USIM beroperasi di Kampus Tetapnya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus. Sementara itu, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Pergigian pula beroperasi di Kampus Cawangan Pandan Indah, Kuala Lumpur.  Hospital yang digunakan untuk tujuan pembelajaran adalah Hospital Ampang, Selangor, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang serta Hospital -hospital Tampin dan Jelebu, Negeri Sembilan. Kampus USIM di Nilai terletak kira-kira 20 minit dari KLIA, 30 minit ke Putrajaya dan 40 minit ke Kuala Lumpur.

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.usim.edu.my/

12. Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Universiti Teknologi MARA bermula daripada tahun 1956 dengan penubuhan Dewan Latihan RIDA (Rural Industrial Development Authority), sebuah pusat percubaan untuk menyediakan kursus persediaan bagi belia luar bandar yang berpendidikan Inggeris.

Kini UiTM menawarkan sejumlah 138 program pengajian di peringkat Sarjana Muda di pelbagai fakultinya. Pengambilan pelajar bagi kebanyakan program peringkat Sarjana Muda dibuat dua (2) kali setahun. Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan meliputi pelbagai bidang seperti perubatan, pergigian, perakaunan, undang-undang, pengurusan, pentadbiran, sains komputer, pentadbiran perniagaan, muzik, perhotelan, kejuruteraan, seni bina dan lain-lain.

Kategori: Universiti Komprehensif
Laman web rasmi: http://www.usim.edu.my/

13. Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Universiti Malaysia Terengganu bermula dari Pusat Perikanan dan Sains Samudera di bawah payung Universiti Putra Malaysia bertempat di Mengabang Telipot, Kuala Terengganu yang menyediakan kemudahan latihan kepada para pelajar Program Perikanan dan Sains Samudera dan kemudahan penyelidikan kepada pensyarah.  Perpindahan Fakulti Perikanan dan Sains Samudera, Universiti Putra Malaysia (UPM) dari Serdang ke Kuala Terengganu telah melahirkan kampus cawangan yang dinamakan Universiti Putra Malaysia cawangan Terengganu (UPMT) pada Jun 1996 dan nama fakulti telah diubah kepada Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi.  Turut ditubuhkan ialah Fakulti Sains dan Sastera Ikhtisas serta Pusat Pengajian Matrikulasi.

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.umt.edu.my/

14. Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula pada 16 September 1993 dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP). Pengisytiharan penukaran nama Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) kepada Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) telah diumumkan oleh Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia pada 12 April 1996 sebagai mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangannya dalam menangani isu pembangunan sumber manusia dalam bidang teknikal di negara ini.

Pada 30 September 2000, Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia telah mengisytiharkan penetapan taraf ITTHO kepada Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO). Pengiktirafan ini telah meletakkan KUiTTHO setaraf dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain di negara ini dan pada 1 Februari 2007 KUiTTHO telah bertukar nama kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil penjenamaan semula semua Kolej Universiti di seluruh Malaysia.

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.uthm.edu.my/

15. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan Universiti Awam (UA) yang ke-14 yang ditubuhkan pada 1 Disember 2000 dan merupakan universiti teknikal awam pertama di Malaysia. Universiti ini kini beroperasi di tiga (3) buah kampus iaitu Kampus Induk yang terletak di Durian Tunggal, Kampus Teknologi di Ayer Keroh dan Kampus Bandar yang terletak di Pusat Bandaraya Melaka Bersejarah.

UTeM mempunyai tujuh (7) buah Fakulti dan satu (1) Institut yang menawarkan program pengajian di dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan, Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan sama ada di peringkat Prasiswazah (program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) dan Pascasiswazah (program Sarjana dan Kedoktoran).

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.utem.edu.my/

16. Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Universiti Malaysia Pahang (UMP) adalah sebuah universiti teknikal yang yang ditubuhkan pada tahun 2002. UMP menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi.

Dalam bidang penyelidikan pula, universiti memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek-projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan. UMP komited dalam membangunkan sumber kapital manusia dan teknologi untuk memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.ump.edu.my/

17. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) telah diluluskan penubuhannya oleh Jemaah Menteri pada 25 Julai 2001. Pada 1 April 2002, Institusi Pengajian Tinggi Awam ke-17 ini mula beroperasi kampus sementara di Kubang Gajah, Arau, Perlis. Setelah lima tahun bertapak di bumi Perlis, universiti ini telah dijenamakan semula daripada KUKUM kepada UniMAP pada 1 Februari 2007.

Kampus induk UniMAP terletak di dua lokasi iaitu di Pauh Putra  dan di Sg. Chuchuh yang masih di peringkat pembangunan. Buat masa ini, kampus UniMAP masih bersifat kampus yang bertaburan (distributed) dan beroperasi di beberapa lokasi kampus lain seperti di Kangar, Jejawi dan lain.-lain. Setiap kampus dihubungkan dengan kemudahan perkhidmatan bas.

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.unimap.edu.my/

18. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) adalah merupakan salah sebuah Universitii  Awam (UA) yang terletak di negeri Terengganu Darul Iman. Universiti ini menawarkan pelbagai kursus di peringkat pengajian asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah tinggi (sarjana dan doktor falsafah).

UniSZA melaksanakan sistem pengajian berpandukan sistem semester.  Tahun akademik dibahagikan kepada dua (II)  semester dan semester III (Semester Khas) yang diadakan dalam masa cuti akhir tahun akademik.

Kemasukan pelajar UniSZA adalah satu kali setahun  iaitu bagi program Diploma kategori SPM/Setaraf pada bulan Jun dan program Ijazah Sarjana Muda kategori STPM/Setaraf pada September setiap tahun.

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.unisza.edu.my/

19. Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Menyahut seruan kerajaan menuju kearah Negara Berpendapatan Tinggi, UMK meneruskan usaha kerajaan Malaysia untuk membantu mempertingkatkan sumber modal insan bagi memacu pembangunan Negara. Bermula dengan kewujudannya pada tahun 2007, tanpa menoleh kebelakang, UMK terus menggorak langkah untuk meneraju pendidikan keusahawanan terunggul di Malaysia bagi melahirkan graduan yang serba boleh.

UMK bersedia untuk menawarkan program yang berkualiti serta memenuhi kehendak pasaran. Bermula dari empat program asal (Teknologi Kreatif, Warisan, Keusahawanan & Perdagangan dan Sains Gunaan – Keusahawanan Teknologi Pertanian), kini UMK menawarkan 24 program terkini dan relevan yang ditawarkan di tujuh buah fakulti dan akan berkembang selaras dengan perkembangan semasa.

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.umk.edu.my/

20. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Sejarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bermula dengan penubuhan Akademi Tentera Malaysia (ATMA) pada 1 Jun 1995 sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab menjalankan program pengajian diperingkat Sarjana Muda dan latihan ketenteraan kepada Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Peranan ATMA diperluaskan dengan menjadikannya sebagai UPNM yang telah di wartakan pada 10 November 2006.

Walaupun UPNM akan memulakan pengambilan kumpulan pertama pelajarnya pada sesi 2007/2008, sebenarnya ia telah mempunyai pengalaman mengendalikan program pengajian di peringkat Sarjana Muda selama 11 tahun iaitu dari tahun 1995 hingga 2006 melalui program kerjasama antara Kementerian Pertahanan dengan Universiti Teknologi Malaysia.

Kategori: Universiti Berfokus
Laman web rasmi: http://www.upnm.edu.my/

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.